Banjir 5 negeri semakin serius, mangsa dipindahkan kini 8,895 orang
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir membabitkan lima negeri terus meningkat kepada 8,895 orang yang membabitkan 3,162 keluarga.
Semua mangsa kini ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di semua negeri terbabit setakat jam 8 malam ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 7,695 orang daripada 2,810 keluarga dengan 31 PPS dibuka di empat daerah.
Ia membabitkan Tumpat dengan 4,221 mangsa, diikuti Kota Bharu (1,941 mangsa) Bachok (1,416 mangsa) dan Pasir Puteh (117 mangsa).
Sementara itu di Kedah 404 mangsa daripada 122 keluarga kini berlindung di tiga PPS, manakala di Terengganu 361 mangsa membabitkan 108 keluarga ditempatkan di dua PPS.
"Mangsa banjir di Perlis pula membabitkan 307 orang daripada 92 keluarga yang ditempatkan di dua PPS, sementara di Pulau Pinang selaku negeri terbaru terkesan banjir merekodkan 128 mangsa membabitkan 30 keluarga yang dipindahkan di dua PPS.
