Fung-Wong taufan ke-21 badai Filipina tahun ini
- Admin UKK
- Berita
MANILA: Sabah, Kedah dan Perak antara kawasan Malaysia menerima tempias taufan terbesar 2025, Fung-Wong yang membadai Filipina kelmarin, menyebabkan hujan lebat dan angin kencang pada Ahad serta semalam.
Turut dikenali sebagai taufan Uwan, Fung-Wong merupakan ribut ke-21 yang melanda Filipina tahun ini.
Taufan Super Fung-Wong melintasi utara pulau paling padat penduduk di Luzon, dengan hujan lebat dan angin kencang berterusan sehingga 185 kilometer sejam (kmj) serta tiupan angin mencecah 225 kmj.
Menurut biro cuaca PAGASA, Fung-Wong bergerak ke arah barat laut bermula semalam, sebelum beralih ke utara pada Selasa, sambil mengekalkan kekuatan taufannya.
Menjelang Rabu, Fung-Wong diramal menuju ke Selat Taiwan dan mula melemah sebelum mendarat di barat Taiwan pada Khamis.
Balai Cerap Hong Kong mengeluarkan isyarat amaran pada Isnin berikutan taufan berkenaan memasuki Laut China Selatan dan menuju ke utara berhampiran Taiwan.
“Taufan ini dijangka paling hampir dengan Hong Kong pada Rabu, kira-kira 400 km ke timur bandar raya. Angin akan bertambah kencang mulai Selasa dan Rabu,” menurut ramalan kelmarin.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand menegaskan Fung-Wong tidak akan membadai negara itu atau memberi kesan langsung kepada cuaca tempatan.
Namun, Thailand menasihatkan pelancong yang menuju ke kawasan berhampiran laluan taufan supaya menyemak keadaan cuaca tempatan sebelum berlepas.
PENDUDUK DI ARAH PINDAH
Menurut Pejabat Pertahanan Awam, lebih 30 juta orang mungkin terdedah kepada bahaya yang dicetuskan oleh taufan super Fung-Wong.
Sehingga kini, lebih sejuta penduduk telah dipindahkan dari rumah masing-masing dan sekurang-kurangnya dua maut apabila taufan itu mendarat di pantai timur Filipina.
Timbalan Pentadbir Pertahanan Awam, Rafaelito Alejandro, berkata lebih 1.2 juta orang dipindahkan secara awal di seluruh negara.
Langkah pemindahan ini melibatkan penduduk di kawasan berisiko tinggi di wilayah timur laut, termasuk Bicol, kawasan pesisir yang mudah terjejas oleh ribut Pasifik dan aliran lumpur dari Gunung Mayon, antara gunung berapi paling aktif di negara itu.
Setiausaha Kebajikan Sosial Filipina, Rex Gatchalian berkata, ribuan keluarga kini berlindung di dewan sukan, teater dan kemudahan kerajaan, dengan keperluan asas serta makanan disediakan.
Sebagai langkah pencegahan tambahan, sekolah dan pejabat kerajaan diarahkan tutup pada Isnin di seluruh Luzon, termasuk ibu negara Manila.
Sekurang-kurangnya 325 penerbangan domestik dan 61 penerbangan antarabangsa dibatalkan sepanjang hujung minggu hingga Isnin.
Di wilayah Aurora, penduduk di bandar Dinalungan dan Dipaculao menutup rumah mereka dengan papan dan kepingan besi bagi menghadapi angin serta hujan lebat, termasuk bimbang pendaratan ribut berlaku pada tengah malam.
Setiausaha Pertahanan, Gilberto Teodoro, menggesa penduduk yang berada di laluan taufan untuk mematuhi arahan pemindahan, menegaskan kegagalan berbuat demikian adalah menyalahi undang-undang.
“Kami meminta orang ramai berpindah awal supaya kita tidak terpaksa melakukan operasi menyelamat pada saat akhir, yang boleh membahayakan nyawa anggota polis, tentera, bomba dan pengawal pantai,” katanya.
Kelmarin, Catanduanes, sebuah pulau kecil yang menurut perkhidmatan cuaca negara berpotensi menerima impak langsung, telah dibadai angin dan hujan lebat.
Ombak besar melimpah ke jalan raya dan menyebabkan beberapa kawasan banjir.
TIADA RUANG BEREHAT
Bencana baharu itu berlaku beberapa hari selepas Taufan Kalmaegi melanda negara tersebut, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 224 nyawa dan menyebabkan 135 lagi hilang.
Walaupun bukan ribut paling kuat melanda negara itu, Kalmaegi bergerak perlahan dan menyebabkan banjir ke kawasan padat penduduk. Pihak berkuasa memaklumkan, kebanyakan kematian berlaku akibat lemas.
Usaha pemulihan di Cebu dan Davao, yang terjejas teruk akibat Kalmaegi, terpaksa dihentikan sementara bagi menumpukan sumber yang ada untuk menghadapi Fung-Wong.
Fung-Wong dijangka membawa 200 milimeter hujan ke banyak kawasan, sekali gus menyukarkan usaha tindak balas bencana.
Sebelum ini, Presiden Ferdinand Marcos Jr., mengisytiharkan darurat berikutan kemusnahan meluas yang disebabkan oleh Taufan Kalmaegi serta bencana yang dijangka daripada Fung-Wong.
Filipina belum memohon bantuan antarabangsa susulan kemusnahan yang disebabkan Kalmaegi, namun Teodoro berkata, Amerika Syarikat dan Jepun bersedia membantu jika diperlukan. – AGENSI
