Lagi mendapan jalan dikesan di Masjid India
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR – Mendapan permukaan jalan telah dikesan di Jalan Bunus, Masjid India, berhadapan premis Bombay Jewellery sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataannya memberitahu, mendapan itu berlaku pada jam 8.39 pagi.
Berikutan itu, katanya, bagi tujuan keselamatan, Jalan Masjid India telah ditutup sementara kepada semua kenderaan dari Lorong Masjid India 4 (di sebelah masjid) sehingga ke bahagian yang terjejas.
“Keselamatan awam menjadi keutamaan kami. Pemantauan dan kerja-kerja teknikal akan diteruskan, dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
DBKL juga memberitahu, pasukan daripada beberapa agensi termasuk Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) serta polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berada di lokasi untuk menjalankan siasatan dan menilai keadaan di kawasan tersebut.
Pada 23 Ogos tahun lalu, seorang wanita, G Vijaya Lakshmi, 48, dari India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Bagaimanapun selepas sembilan hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita itu dihentikan tanpa sebarang penemuan. – 10 November, 2025
