Taiwan pindah lebih 3,000 penduduk, persediaan hadapi Taufan Fung-wong
- Admin UKK
- Berita
TAIPEI: Taiwan hari ini mengeluarkan amaran dan memindahkan lebih 3,000 penduduk berikutan Taufan Fung-wong yang dijangka membawa hujan lebat di kawasan pergunungan di pantai timur pulau itu.
Meskipun kekuatannya kini semakin berkurangan, menurut ramalan, Fung-wong dijangka melanda kawasan barat daya Taiwan berhampiran pelabuhan utama Kaohsiung melalui Filipina, sebagai taufan yang jauh lebih kuat dan setakat ini sudah meragut enam nyawa.
Taufan itu dijangka menyeberangi bahagian selatan Taiwan sebelum merentas ke Lautan Pasifik di sepanjang pantai daerah Taitung dan Hualien yang kurang penduduk.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te, menerusi hantaran di Facebook menasihatkan orang ramai supaya tidak menuju ke kawasan pergunungan, pantai atau lokasi yang berisiko tinggi.
Pada September lalu, 18 orang terkorban di Hualien akibat banjir besar yang dicetuskan oleh taufan terdahulu.
Kerajaan mengarahkan pemindahan di bandar Guangfu iaitu lokasi tragedi banjir berkenaan dan memaklumkan seramai 3,337 penduduk di empat daerah serta bandar sudah dipindahkan ke kawasan lebih selamat.
Sekolah dan pejabat di Hualien dan daerah berdekatan turut Yilan, ditutup hari ini.
Taufan Fung-wong dijangka tidak memberi kesan langsung kepada bandar Hsinchu di utara Taiwan, yang menempatkan syarikat pengeluar cip kontrak terbesar dunia, TSMC. - REUTERS
