Taufan Fung-wong bawa banjir ke Taiwan, beribu-ribu orang dipindahkan
- Admin UKK
- Berita
TAIPEI: Taiwan memindahkan lebih 8,300 orang menjelang ketibaan Taufan Fung-wong yang semakin lemah pada hari Rabu, yang membawa hujan lebat ke pantai timur yang berbukit dan menyebabkan banjir di beberapa kawasan.
Susulan itu, perniagaan dan sekolah ditutup di kebanyakan kawasan selatan pulau itu, dengan 51 orang dilaporkan cedera.
Imej televisyen menunjukkan banjir teruk di beberapa bahagian di daerah timur Yilan, yang sebahagian besarnya luar bandar, dengan air mencecah paras leher ketika anggota tentera menggiatkan usaha menyelamatkan mereka yang terperangkap.
Jabatan bomba berkata, kira-kira 8,300 orang dipindahkan dari rumah mereka ke kawasan lebih selamat, kebanyakannya di Yilan dan Hualien yang berhampiran, di mana monsun dari utara menambah jumlah hujan akibat taufan yang datang lambat dari musim sepatutnya itu.
Bandar Dongshan di Yilan mencatatkan hujan sebanyak 794 milimeter pada hari ini, menurut pegawai meteorologi.
Fung-wong dijangka melintasi hujung selatan Taiwan esok, sebelum bergerak ke Lautan Pasifik. Ia kehilangan sebahagian besar kekuatannya selepas melalui Filipina dan mengorbankan 27 nyawa.
Sebelum ini, satu taufan pada September menyebabkan banjir yang meragut 18 nyawa di Hualien.
Taufan minggu ini dijangka tidak memberi kesan langsung ke bandar utara Hsinchu, tempat TSMC, pengeluar cip kontrak terbesar dunia, beroperasi. - REUTERS
