PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Aktiviti perlombongan punca pencemaran Sungai Johor diarahkan henti serta-merta

Aktiviti perlombongan punca pencemaran Sungai Johor diarahkan henti serta-merta

JOHOR BAHRU, 5 Nov: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor mengarahkan operasi perlombongan yang didakwa menjadi punca pencemaran Sungai Johor di Kota Tinggi dihentikan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan terperinci oleh pihak berkuasa.

Kata beliau, insiden itu juga menjejaskan bekalan air kepada 214,154 kediaman serta menyebabkan 150 nelayan kehilangan punca pendapatan.

“Berdasarkan penemuan awal serta pandangan agensi teknikal, PTG Johor telah mengeluarkan notis untuk menghentikan operasinya serta-merta.

“Permit bahan batuan syarikat berkenaan juga digantung sementara sehingga siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 7A(1)(c) Enakmen Air 1921 (Pindaan 2014) serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri turut mengarahkan syarikat terbabit menanggung kos kerja pemulihan dan pembersihan, selain berdepan tindakan kompaun mengikut peruntukan undang-undang.

Terdahulu, penduduk mengesan pencemaran berupa lumpur berwarna putih di bahagian hulu Sungai Johor, dipercayai berpunca daripada kolam cucian pasir yang pecah di kawasan perlombongan berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Mohamad Fazli dilaporkan berkata, paras kekeruhan air meningkat sehingga 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU), jauh lebih tinggi berbanding paras biasa sekitar 400 NTU.

Sebagai langkah segera, kerajaan negeri meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan menurunkan tahap kekeruhan sungai berkenaan. -TVS.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search