PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kilang haram bawa sengsara

Kilang haram bawa sengsara

Kajang: Kewujudan kilang haram di Kampung Bukit Dukung, di sini sejak kira-kira 20 tahun lalu menyebabkan penduduk berdepan pelbagai masalah termasuk pencemaran udara, bunyi dan bau, longkang tersumbat, jalan rosak serta rumah retak.

Penduduk, Ahmad Syafi'ie Johan, 40, mendakwa terdapat puluhan kilang haram di kampung itu yang pada awalnya adalah stor kecil, namun 'dinaiktaraf' sejak jalan masuk diturap dengan tar.

"Asalnya jalan kampung ini adalah jalan ke kebun. Apabila ada jalan tar, penduduk perasan ada beberapa stor kecil dibina yang kononnya untuk disewa.

"Namun lama-kelamaan, premis yang dibina semakin besar dan laluan kampung mula dipenuhi dengan jentera berat menuju ke kilang-kilang (haram) berkenaan," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Dukung, di sini, baru-baru ini.

Ahmad Syafi'ie berkata, pihaknya keliru bagaimana kilang boleh dibina di kampung berkenaan, sedangkan semakan dibuat menunjukkan tanah kampung itu berstatus tanah pertanian.

"Bayangkan kilang haram yang dibina mempunyai bekalan elektrik dan air seolah-olah kewujudannya di kawasan ini adalah sah seperti mana lebih 80 rumah yang ada di kampung ini.

"Justeru itu, kami mahu mengetengahkan isu ini kepada pihak berkuasa, memandangkan permasalahan terbabit sudah berlanjutan kira-kira 20 tahun.

"Malah, sudah ramai penduduk menyuarakan mengenai isu ini termasuk membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa, tetapi sehingga kini belum ada tindakan drastik diambil," katanya yang menetap di kampung berkenaan sejak lahir.

Seorang lagi penduduk kampung, Kamarul Zaimi Kamaruddin, 45, berkata, banjir kilat, pencemaran udara dan bunyi kerap berlaku susulan kilang haram di sekitar kampung.

"Dulu, kampung ini aman tetapi kini timbul banyak masalah sejak wujudnya kilang-kilang haram di kawasan ini. Sisa kilang yang merangkumi bahan kimia dilepaskan (tanpa ikut spesifikasi), menyebabkan longkang tersumbat.

"Setiap kali hujan lebat melebihi empat jam, pasti berlaku banjir kilat di kawasan kampung. Selain sisa longkang, bunyi bising serta asap hitam daripada kilang juga menjadi punca pencemaran di kampung ini," katanya.

Beliau yang juga Penaung Persatuan Pendukung Pengguna Malaysia (PPPM) berkata, terdapat rumah penduduk terletak berhampiran kilang haram mengalami keretakan disebabkan operasi kilang.

Katanya, malangnya apabila perkara itu dimajukan, tiada mana-mana pihak tampil bertanggungjawab.

"Sampai bila penduduk harus berdepan permasalahan ini. Kami tidak mahu masalah itu berterusan dan menyebabkan semakin banyak kilang haram dibina di kampung ini," katanya.

Tinjauan Harian Metro di lokasi terbabit mendapati terdapat beberapa kilang di sekitar kampung dan lebih 10 kenderaan berat keluar masuk dalam tempoh satu jam tinjauan dilaksana.

Wartawan juga mengesan jalan kampung agar rosak dan banyak lubang dipercayai kesan pergerakan kenderaan berat.

Selain itu longkang berhampiran kilang juga tersumbat, dengan airnya agak keruh dan bertakung.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search