Mangsa banjir di Perak menurun, 10 PPS masih beroperasi
- Admin UKK
- Berita
IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak terus mencatat penurunan hari ini kepada 886 orang berbanding 2,888 mangsa semalam.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, setakat pukul 2 petang, sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.
“Lima daerah yang terjejas banjir iaitu Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah dan Kerian manakala di Hilir Perak sebuah PPS dibuka yang menempatkan mangsa kebakaran rumah.
“Penurunan jumlah mangsa banjir dikaitkan dengan keadaan cuaca yang semakin baik serta penurunan paras air di beberapa kawasan rendah,” kata laporan berkenaan.
Daerah Larut, Matang dan Selama mencatat 144 mangsa daripada 46 keluarga yang kini ditempatkan di sebuah PPS.
Daerah Manjung merekodkan 443 mangsa daripada 46 keluarga di lima PPS. Perak Tengah pula mencatat 110 mangsa di sebuah PPS manakala daerah Kerian 161 mangsa di dua PPS.
Di Hilir Perak, sebuah PPS dibuka iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang menempatkan 28 orang mangsa kebakaran rumah. – UTUSAN
