PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Tiga mukim Kota Setar berisiko banjir

Tiga mukim Kota Setar berisiko banjir

ALOR SETAR: Tiga mukim di daerah ini berisiko dilanda banjir ekoran trend peningkatan Sungai Kedah sejak beberapa hari lepas dipercayai limpahan air sungai dari Sik, Baling dan Pendang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, anggota APM sedang memantau sungai-sungai di sekitar Alor Setar yang dijangkakan terlibat. 

“Tiga mukim dijangka terjejas ialah, Langgar di Kampung Inggeris, Anak Bukit (Alor Gunung, Alor Madi, Kampung Alor Senjaya, Kampung Seberang Chegar dan Pantai Johor). Di Titi Gajah pula Kampung Alor Perang, Bohor dan Titi Gajah,” katanya selepas meninjau Sungai Kedah di Kanchut, di sini hari ini. 

Katanya, APM Kedah turut menasihati penduduk di kampung berisiko agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah lebih awal bagi mengelak kejadian tidak diingini. 

“Kita tidak mahu kejadian sebelum ini berulang apabila ada penduduk enggan berpindah sehingga menyukarkan pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 10 daripada 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ditutup hari ini ekoran cuaca yang semakin baik sepanjang hari.

“Setakat ini sembilan PPS masih beroperasi dengan lima di Kulim, masing-masing satu di Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Kubang Pasu. Alhamdulillah, keadaan semakin baik. Jika tiada hujan dalam tempoh terdekat, kemungkinan besar beberapa PPS lagi akan ditutup esok,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang berkunjung ke pantai khususnya di Langkawi diingatkan agar mematuhi setiap arahan serta amaran yang dikeluarkan oleh pasukan penyelamat terutama ketika cuaca tidak menentu.

Mohd. Bukhori berkata, amaran bendera merah akan dinaikkan sekiranya keadaan laut berbahaya dan tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda serta sukan air.

“Tiga pantai di Langkawi seperti Cenang, Pelangi dan Tengah berisiko terutama kejadian lemas ketika cuaca tidak menentu seperti laut bergelora. APM akan meletakkan bendera di kawasan ini ketika cuaca buruk,” katanya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search