Keadaan banjir di utara semakin pulih
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Situasi banjir di tiga negeri utara Semenanjung menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 2,000 mangsa mula dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan cuaca yang semakin baik.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 4.30 petang, sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup dengan jumlah keseluruhan mangsa kini menurun kepada 3,804 orang.
Di Kedah, seramai 1,616 mangsa daripada 453 keluarga masih berlindung di beberapa PPS yang masih beroperasi, manakala lapan PPS sudah ditutup.
Sebelum ini, Sekolah Menengah Agama (SMA) Insaniah menempatkan jumlah mangsa tertinggi, namun kini hanya 318 orang masih berada di PPS berkenaan selepas lebih 160 orang dibenarkan pulang.
Sementara itu, di Pulau Pinang, jumlah mangsa turut menurun kepada 849 orang, berbanding lebih 1,000 orang pada waktu pagi.
PPS di daerah Barat Daya telah ditutup, manakala hanya dua daerah masih terjejas iaitu Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.
Di Perak, jumlah mangsa turut menunjukkan trend penurunan dengan hanya 1,343 orang masih berlindung di PPS sekitar Larut, Matang dan Selama (LMS), Manjung, Kerian dan Perak Tengah. – UTUSAN
