PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir di tiga negeri beransur pulih

Banjir di tiga negeri beransur pulih

BAGAN SERAI: Jumlah mangsa banjir di seluruh Perak menunjukkan trend penurunan apabila 2,888 orang daripada 971 keluarga masih berlindung di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi semalam, berbanding 2,896 mangsa kelmarin.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, sebuah PPS baharu dibuka awal pagi semalam di Dewan Bandar Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) bagi menempatkan 21 mang­sa daripada empat keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran di Kampung Terengganu, Hilir Perak.

Lima daerah kekal terjejas iaitu Larut, Matang dan Selama; Manjung; Perak Tengah; Kerian; serta Hilir Perak tanpa sebarang penutupan PPS setakat ini.

“Daerah Larut, Matang dan Selama kekal paling teruk terjejas dengan 1,872 mangsa daripada 640 keluarga di 19 PPS, antaranya ADTEC Taiping, SK Simpang dan Masjid Al-Wusta Batu 8,” katanya dalam kenyataan semalam.

Di Manjung, sebanyak 607 mangsa daripada 202 keluarga masih ditempatkan di lima PPS, manakala di Perak Tengah, 110 mangsa daripada 31 keluarga berlindung di SMK Layang-La­yang Kiri.

Sementara itu, tiga PPS di Kerian menempatkan 278 mangsa daripada 94 keluarga, termasuk di Dewan Serbaguna Semanggol dan SK Kampung Dew.

Di KEDAH, seramai 1,934 mangsa banjir daripada 602 keluarga di tujuh daerah di Kedah ditempatkan di 19 PPS selepas rumah mereka dinaiki air sejak Khamis lalu.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), daerah Kulim mencatatkan jumlah tertinggi apabila 1,294 mangsa daripada 372 keluarga kini berlindung di sembilan PPS yang diaktifkan. Namun, angka itu menunjukkan trend penurunan berikutan sebahagian penduduk sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, di Baling, seramai 291 mangsa daripada 119 keluarga dari 11 kampung di Mukim Siong, Pulai dan Baling/Bongor turut dipindahkan ke PPS. Di Pendang, 111 penduduk daripada 32 keluarga ditempatkan di sebuah PPS selepas enam mukim di daerah itu dinaiki air petang kelmarin.

Di GEORGE TOWN, tujuh PPS masih dibuka di tiga daerah di Pulau Pinang setakat pukul 9 pagi semalam bagi menempatkan 1,049 mangsa banjir daripada 292 keluarga.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Seberang Perai Utara (SPU) mencatatkan jumlah tertinggi apabila empat PPS dibuka menempatkan 781 mangsa daripada 214 keluarga.

Dua PPS di Seberang Perai Tengah (SPT) masih beroperasi dengan 234 mangsa daripada 68 keluarga, manakala satu PPS di daerah Barat Daya menempatkan 34 mangsa daripada 10 keluarga.

Sementara itu, tiga buah sekolah rendah di Pulau Pinang dijangka menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua hari bermula esok susulan banjir yang berlaku sejak kelmarin.

Tiga sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi dan SK Padang Menora di Seberang Perai Utara (SPU) serta SK Guar Perahu di Seberang Perai Tengah (SPT), melibatkan seramai 1,786 murid. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search