Banjir air pasang besar, 50 mangsa dipindahkan di Tanjung Dawai
- Admin UKK
- Berita
SUNGAI PETANI: Seramai 50 penduduk Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Choong Cheng akibat banjir air pasang besar, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA), Amirul Asyraf Mohamad Mayidin, berkata PPS dibuka jam 6 petang dan mangsa terdiri daripada 23 keluarga.
Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK), Kampung Sungai Pial, Ahmad Fauzi Othman, ketika dihubungi berkata hujan lebat berterusan dari pagi hingga malam tadi memburukkan lagi keadaan.
"Selain beberapa rumah dilaporkan terancam sejak beberapa bulan lepas, ada lagi yang turut terjejas akibat hakisan pantai dan keadaan lebih teruk selepas dibadai ombak semalam," katanya.
Ahmad Fauzi berkata, penduduk berada dalam kawasan berisiko diarahkan berpindah ke PPS sejak malam tadi bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
"Hakisan semakin buruk. Malah ada tembok baru siap juga dilimpahi air dan pagi ini, cuaca masih mendung selain hujan renyai," katanya.
