Paras air meningkat, penduduk di Ulu Roban dinasihatkan agar berwaspada
- Admin UKK
- Berita
SARATOK, 21 Okt: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok terus melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir susulan hujan berterusan sejak malam tadi yang bertembung dengan fenomena air pasang besar.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, tiga anggota telah digerakkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Roban dan Rumah Kaya, Ulu Roban bagi menjalankan pemantauan dan menilai keadaan semasa paras air di kawasan tersebut.
“Hasil pemantauan mendapati paras air di SK Ulu Roban berada pada 2.80 kaki dengan trend termenung, manakala di Rumah Kaya paras air mencatatkan dua kaki dan menunjukkan trend menaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, cuaca semasa di kawasan terlibat didapati mendung dan keadaan ini berpotensi menyebabkan paras air terus meningkat sekiranya hujan berterusan.
“Penduduk rumah panjang dan pihak sekolah telah dinasihati agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca tidak menentu serta segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini terutamanya banjir,” ujarnya.
Menurutnya lagi, setakat ini tiada pemindahan dilakukan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan situasi adalah terkawal.
“APM Saratok akan terus memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin,” tambahnya.-TVS