PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

PTO Bencana Gempa Bumi panduan atasi bencana gempa

PTO Bencana Gempa Bumi panduan atasi bencana gempa

KUALA LUMPUR: Perintah Tetap Operasi (PTO) Bencana Gempa Bumi Jilid V bertarikh 23 Disember 2011 adalah panduan agensi kerajaan, terutama agensi tindak balas bagi menangani bencana gempa bumi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beberapa siri latihan dan program kesedaran atau kesiapsiagaan bencana gempa bumi juga sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelaksanaan siri latihan itu turut membabitkan pelbagai cabang agensi kerajaan di pelbagai peringkat Persekutuan, negeri serta daerah.

Katanya, dua siri program dilaksanakan di Johor dengan inisiatif serta kerjasama kerajaan negeri bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi kesiapsiagaan dan kecekapan tindak balas agensi kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan sukarela untuk mendepani bencana itu, tahun ini.

"Selain itu, dua siri program sudah dilaksanakan di Sabah dan Selangor, tahun lalu.

 

"Tindakan proaktif sentiasa diusahakan NADMA bagi membina daya tahan dan kesiapsiagaan semua pihak dalam menghadapi bencana.

"NADMA juga sentiasa merancang dan menambah baik program latihan membabitkan pelbagai pihak, termasuk komuniti bagi menjamin keselamatan serta kebajikan rakyat dalam aspek pengurusan bencana dan bukan bencana," katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai pelaksanaan program kesedaran dan latihan kecemasan gempa bumi membabitkan agensi kerajaan, termasuk NADMA.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana di Malaysia tertakluk kepada Arahan NADMA No. 1.

Dokumen itu, katanya, menggariskan dasar dan mekanisme pengurusan bencana serta pengurangan risiko bencana, merangkumi perintah dan kawalan ketika pengendalian bencana dan disokong PTO bagi setiap jenis kejadian bencana.

"Dokumen ini jelas menggariskan peranan serta tatacara pengendalian bencana perlu dipatuhi, sama ada di peringkat jawatankuasa pengurusan bencana mahupun setiap agensi terbabit dalam fasa kejadian bencana iaitu sebelum, semasa atau selepas berlakunya sesuatu bencana.

"NADMA selaku agensi peneraju pengurusan bencana negara, sentiasa bersiap siaga dan komited memperkukuh keupayaan serta kesiapsiagaan negara menangani kesan pelbagai bencana alam, termasuk gempa bumi," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search