Kebakaran hutan di Syria berjaya dikawal
- Admin UKK
- Berita
DAMSYIK – Agensi pertahanan awam Syria menyatakan semalam bahawa kebakaran hutan di barat negara itu yang memusnahkan sebahagian kawasan hutan dan ladang akibat gelombang haba, telah berjaya dikawal.
Menurutnya, kebakaran yang turut melibatkan pemindahan penduduk secara paksa itu berjaya dikawal dalam tempoh 10 hari.
Dalam satu kenyataan di Facebook, agensi itu berkata, ia sedang berusaha untuk menyejukkan kawasan yang terjejas sambil memantau sebarang tanda kebakaran semula.
Menurut agensi itu, proses penyejukkan dilakukan selepas kebakaran berjaya dikawal pada Sabtu lalu.
Kebakaran di wilayah pantai Latakia itu berlaku di tengah-tengah gelombang haba yang ekstrem.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, kebakaran tersebut memusnahkan kira-kira 100 kilometer persegi hutan dan tanah ladang.
Dalam catatan di platform X, Menteri Kecemasan dan Pengurusan Bencana Syria, Raed Al-Saleh berkata, dengan bantuan Turkiye, Jordan, Lubnan, Qatar dan Iraq, anggota-anggota bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke tempat lain.
“Situasi adalah yang terbaik dalam tempoh 10 hari yang lalu,” katanya. – AFP