PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Aktiviti kuari dipantau ketat, tiada bukti kait gegaran - Polis

Aktiviti kuari dipantau ketat, tiada bukti kait gegaran - Polis

IPOH – Setiap aktiviti letupan kuari di negeri ini dipantau secara ketat bagi memastikan ia dijalankan mengikut prosedur serta jadual kelulusan yang ditetapkan, kata Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.

Beliau berkata, pemantauan tersebut merangkumi semakan terhadap bahan letupan berjadual yang digunakan serta rekod penggunaan dan penyimpanan stok bahan letupan.

“Setakat ini, kesemua syarikat kuari berlesen yang diperiksa mematuhi syarat lesen dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Aktiviti letupan juga dijalankan mengikut peraturan, jadual dan kelulusan yang sah. Tiada sebarang unsur keraguan dikesan setakat ini,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini, pada Rabu.

 

Beliau berkata, perkara itu sekali gus menolak dakwaan bahawa gegaran yang berlaku di sekitar Ipoh pada 18 Jun lalu berpunca daripada operasi kuari.

Menurutnya, hasil semakan dan siasatan awal mendapati semua aktiviti letupan oleh syarikat kuari berlesen hanya dijalankan pada waktu petang, iaitu selepas jam 12 tengah hari.

“Letupan oleh pihak kuari yang direkodkan pada hari tersebut berlaku sekitar jam 12 tengah hari, 1 petang dan paling lewat pada jam 4.08 petang.

“Sedangkan kejadian gegaran yang dilaporkan orang awam berlaku seawal jam 10.30 pagi. Jadi agak mustahil ia berpunca daripada letupan kuari kerana waktu kejadian adalah berbeza,” jelasnya.

Noor Hisam berkata, siasatan lanjut berkaitan kes gegaran itu masih dijalankan dengan kerjasama pakar geologi dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi mengenal pasti punca sebenar.

“Kita sedang mengumpulkan beberapa bukti dan dapatan daripada kedua-dua pihak yang masih menjalankan siasatan.

“Setakat ini, tiada gegaran susulan dilaporkan dan saya menyeru masyarakat agar bertenang serta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan bunyi letupan dan gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan sekitar Klebang, Chemor, Meru Raya, Ulu Kinta, Tanjung Rambutan dan Taman Ipoh.

Untuk rekod, pada 21 Oktober tahun lalu, satu gegaran kuat turut dilaporkan berlaku di sekitar Ipoh kira-kira jam 11 pagi, disusuli bunyi dentuman yang kuat.

Difahamkan, kejadian tersebut merupakan insiden keempat selepas kali pertama direkodkan pada Jun 2012 dan 4 Oktober 2018, dengan kesemuanya berlaku pada waktu hampir sama dan punca sebenar masih belum dikenal pasti sehingga kini.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search