PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Sistem perparitan RM2.5 juta selesai isu banjir termenung Kampung Kota

Sistem perparitan RM2.5 juta selesai isu banjir termenung Kampung Kota

KOTA BHARU – Banjir termenung yang membelenggu lebih 1,000 penduduk di Kampung Kota, yang juga merupakan Kampung Angkat Madani di sini sejak hampir 20 tahun lalu dijangka selesai Julai ini menerusi pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan dengan kos hampir RM2.5 juta.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Nik Soh Yaacoub berkata, projek itu dilaksanakan secara dua fasa iaitu pertama membabitkan pembinaan longkang konkrit sejauh 700 meter bernilai lebih RM770,000 dari bulatan Kampung Kota ke Kampung Gaung dan seterusnya fasa kedua bernilai RM1.7 juta.

Menurutnya, kawasan tersebut antara lokasi hotspot banjir termenung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor setiap kali musim tengkujuh disebabkan struktur longkang lama yang rosak dan tidak lagi mampu menampung kapasiti air.

“Sebelum ini, ada selenggaraan dibuat tetapi struktur lama rosak, jadi longkang perlu dibina semula.

 

“Fasa pertama bermula April lalu dan kini sedang berjalan dan dijangka siap pertengahan Julai,” katanya selepas lawatan tapak di Kampung Kota pada Selasa.

Nik Soh berkata, projek mendapat keutamaan peruntukan di bawah inisiatif Kampung Madani.

“Projek dilaksanakan hasil peruntukan khas yang disalurkan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Saizol Ismail yang turut hadir berkata, kawasan Kampung Kota memang menjadi lokasi utama air termenung dalam tempoh lebih seminggu siap kali musim tengkujuh.

“Apabila hujan lebat, paras air boleh sampai ke paras 0.5 meter dan tidak boleh dilalui kenderaan.

“Terima kasih atas keprihatinan kerajaan yang akan memberi manfaat kepada penduduk bebas daripada masalah air termenung yang bertahun-tahun mereka hadapi,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search