PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

125 rumah di 64 kampung terjejas akibat angin kencang

125 rumah di 64 kampung terjejas akibat angin kencang

Alor Setar: Sebanyak 125 rumah di 64 kampung mengalami kerosakan akibat angin kencang yang melanda negeri ini, malam tadi.

Setakat jam 12.30 tengah hari ini, jumlah rumah yang dilaporkan terjejas ialah 76 rumah di daerah Yan, 21 rumah di daerah Kota Setar manakala daerah Sik mencatatkan 27 rumah dan sebuah rumah di daerah Pendang.

Timbalan Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Shahrul Nizam Shahrul berkata, setakat ini pihaknya sedang melakukan pemantauan di lokasi yang terjejas iaitu lima mukim di daerah Yan.

Beliau berkata, angin kuat dan hujan di daerah itu menyebabkan 76 rumah di 31 kampung terjejas setakat jam 12.30 tengah hari ini selain lima kes pokok tumbang.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Abdul Haliq Rafiq Mokhtar berkata, jumlah rumah yang terjejas akibat kejadian angin kencang itu adalah sebanyak 21 rumah di 11 Mukim iaitu Titi Gajah, Kuala Kedah, Tajar, Langgar, Derga, Kubang Rotan, Anak Bukit, Alor Malai, Pengkalan Kundor, Padang Lalang dan Telok Kechai.

Beliau berkata, anggotanya masih melakukan pemantauan dilakukan di lokasi setakat ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mat Napiah pula berkata, hasil pemantauan anggotanya pagi tadi mendapati, terdapat 27 rumah di 14 kampung yang terjejas akibat kejadian angin kencang.

Beliau berkata, kesemua kampung itu membabitkan empat mukim iaitu Mukim Sik, Mukim Sik, Mukim Teloi dan Mukim Jeneri.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, kejadian hujan dan angin yang melanda daerah itu malam tadi menyebabkan beberapa rumah terjejas.

Bagaimanapun setakat ini hanya satu rumah dilaporkan rosak akibat kejadian itu dan anggotanya sedang melakukan pemantauan di lokasi yang dilaporkan terjejas.

"Anggota kami turut melakukan operasi membersihkan pokok tumbang di Jalan Lubuk Getah yang menjejaskan pergerakan keluar masuk penduduk," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search