Rumah Orang Asli Kampung Kuala Wook berdepan risiko tanah runtuh
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG: Seramai 14 penduduk Orang Asli daripada dua keluarga di Kampung Kuala Wook di sini, berdepan risiko keselamatan selepas tebing di sekitar kediaman mereka terhakis sejak lebih dua minggu lepas yang mungkin boleh mengakibatkan tanah runtuh.
Penduduk suku Temiar, Hairi Pandak, 29, berkata, hakisan tanah bermula pada 24 Mei lepas susulan hujan lebat berterusan, menyebabkan paras air sungai meningkat dan arus deras.
"Kira-kira 8 malam, saya perasan tebing berhampiran rumah mula terhakis dan sebahagiannya runtuh. Beberapa pokok pisang dan ubi kayu yang ditanam turut rosak," katanya kepada pemberita di Kampung Kuala Wook di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Salmah Awang, 55, berkata, hakisan tanah semakin membimbangkan kerana struktur tanah di tepi rumah yang didiami lebih 10 tahun itu terjejas akibat arus sungai yang deras.