Tiga maut banjir landa wilayah French Riviera
- Admin UKK
- Berita
LE LAVANDOU: Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban selepas hujan lebat dan ribut melanda wilayah French Riviera sejak Isnin.
Pasangan warga emas ditemukan mati di bandar peranginan Le Lavandou, manakala seorang lagi mangsa maut selepas terperangkap dalam kenderaan di Vidauban.
Hujan lebat telah menyebabkan kerosakan besar di seluruh kawasan, dengan jalan raya ditenggelami air serta gangguan bekalan elektrik dan air.
Dua perjalanan kereta api terpaksa dihentikan selepas landasan mengalami kerosakan akibat banjir.
Menurut pihak berkuasa Toulon, pasangan yang maut di Le Lavandou cuba meninggalkan kediaman mereka tetapi dihanyutkan oleh arus deras yang meningkat secara mendadak.
Siasatan telah dibuka bagi mengenal pasti punca kematian mereka.
Datuk Bandar Le Lavandou, Gil Bernardi, menyifatkan kejadian itu sebagai fenomena yang "sangat ganas dan sukar difahami," dengan jalan raya rosak teruk serta jambatan yang runtuh.
Kawasan tersebut masih mengalami gangguan bekalan elektrik dan air, sementara akses ke bandar turut dihadkan kerana jalan utama masih ditenggelami air.
Di Vidauban, seorang mangsa maut selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas ke dalam parit akibat jalan yang ditenggelami air.
Seorang pejalan kaki cuba menyelamatkan kedua-dua penumpang, tetapi hanya berjaya menyelamatkan pemandu.
Lebih 500 panggilan kecemasan telah diterima di wilayah Var dalam tempoh 24 jam terakhir, dengan ratusan anggota penyelamat dikerahkan ke kawasan terjejas, termasuk dari bandar berdekatan seperti Cannes.
Wilayah Var sebelum ini diletakkan dalam amaran kecemasan bagi ribut petir dan banjir, namun amaran tersebut telah diturunkan ke tahap paling rendah pada pagi Selasa.
Lebih 600 kediaman masih mengalami gangguan bekalan elektrik.