Pemilik premis jual bahan bakar ditahan punca pencemaran LRA Sungai Linggi
- Admin UKK
- Berita
SEREMBAN: Seorang pemilik premis yang menjalankan aktiviti menjual minyak bahan bakar untuk kegunaan industri ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes pencemaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisiomer Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan pada Jumaat lalu selepas pihak polis menerima laporan terdapat tumpahan minyak di loji tersebut.
“Pihak polis telah menerima laporan polis daripada seorang lelaki iaitu pegawai eksekutif pengeluaran Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) pada pukul 7.21 petang, Khamis lalu .
“Ia berkaitan laporan diterima operator loji pada 6.21 petang (hari sama) tentang pencemaran air sungai setelah mendapati terdapat tumpahan minyak di LRA Sungai Linggi,” katanya kepada pemberita di sin.
Beliau berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah mengambil sampel air di LRA Sungai Linggi dan telah membuat pengesahan bahawa air tersebut selamat digunakan.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. – UTUSAN