PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Berazam bangkit kembali selepas diuji peristiwa letupan paip gas

Berazam bangkit kembali selepas diuji peristiwa letupan paip gas

SHAH ALAM: Mangsa letupan paip gas Putra Height, Subang Jaya dari Kampung Kuala Sungai Baru, Mohd. Khairul Amin Mohd.Rashid, 38, berazam bangkit kembali membangunkan perniagaan yang musnah akibat kejadian yang berlaku pada Hari Aidilfitri kedua lalu.

Beliau yang mengusahakan perniagaan kanopi, sewaan pengangkutan dan kedai makan berkata, beliau lebih banyak menyendiri dan memantau keadaan ibunya, Yatimah Mohd.Noor, 69, yang masih dirawat akibat melecur di beberapa bahagian tubuh di Hospital Putrajaya.

“Bukan mudah untuk saya pulih dari trauma dalam masa yang singkat. Baru sekarang saya mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan orang ramai.

“Ada pihak media yang cuba menghubungi untuk temuramah selepas beberapa hari kejadian yang tidak diduga itu berlaku. Namun saya tiada kekuatan untuk berkongsi,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Aidilfitri Bersama Usahawan Hijrah Selangor di Seksyen 7 di sini hari ini.

Terdahulu beliau dan seorang lagi usahawan, Azrim Shaari,52, menerima bantuan Inisiatif Kasih Hijrah sebanyak RM2,000 seorang daripada Exco Pembangunan Belia & Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan & Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana Selangor, Mohd. Najwan Mohd. Halimi.

Sementara itu, Azrim dari Kampung Tengah berkata, beliau mengalami kerugian lebih RM15,000 selepas rumah, kenderaan dan barangan rumah rosak akibat kejadian tersebut.

“Anak-anak jadi takut. Mereka tidak mahu lagi tinggal di rumah itu. Saya pun masih fikir macam mana hendak mulakan semula.

“Sebagai peniaga alat pemadam kebakaran kesemua produk perniagaan berada di pejabat di Rimbayu. Cuma masalah pada saat ini bagaimana dan kepada siapa tuntutan kerugian hendak disalurkan,”ujarnya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search