PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Ahmad Zahid adakan lawatan rasmi ke Indonesia

Ahmad Zahid adakan lawatan rasmi ke Indonesia

KUALA LUMPUR, 20 April: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia bermula hari ini hingga 22 April bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan Ahmad dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming bagi membincang serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perbincangan itu juga jelas Wisma Putra dijangka menyentuh sektor industri halal, pembangunan luar bandar dan pengurusan bencana negara.

“Lawatan ini mencerminkan kesinambungan kerjasama erat antara kedua-dua negara susulan Lawatan Negara Presiden Republik Indonesia ke Malaysia pada Januari 2025 yang lalu,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan merasmikan majlis pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 yang akan berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Wisma Putra berkata lawatan itu menjadi platform bagi mempertingkat kerjasama dua hala, selain menangani cabaran serantau serta memperkukuh kolaborasi masa depan dengan kepentingan bersama.

Ahmad Zahid dijangka menyertai Sesi Meja Bulat dan mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil utama industri francais Indonesia.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri juga dijadual menyaksikan pertukaran tiga Surat Niat yang merangkumi dua kerjasama TVET antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kerajaan Provinsi Daerah Khusus Ibukota Jakarta (DKI Jakarta), serta Kerajaan Provinsi Sumatera Barat.

Beliau juga akan menyaksikan pemeteraian MoU antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat khusus dalam bidang pendidikan tinggi.

Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan yang kedua terbesar di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN pada 2024.

Jumlah dagangan dua hala pada tahun 2024 direkodkan sebanyak RM116.29 bilion meningkat sebanyak 4.5 peratus berbanding RM111.21 bilion pada 2023. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search