PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

PPS Putra Heights ditutup sepenuhnya

PPS Putra Heights ditutup sepenuhnya

SUBANG JAYA: Dua pusat pe­min­­dahan sementara (PPS) di Masjid Put­ra Heights dan Dewan Ca­melia yang menempatkan mang­sa tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu telah dikosongkan sepenuhnya semalam.

Semua 613 keluarga yang ditempatkan di PPS itu dibenarkan pulang ke penginapan sementara atau kediaman ma­sing-masing selepas kawasan pe­rumahan mereka disahkan se­lamat oleh pasukan bomba.

Pengerusi Bencana Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohamed berkata, mangsa telah keluar secara berperingkat selepas makluman pengosongan PPS itu dibuat pada Khamis lalu.

“Jadi mereka semua telah membuat perancangan keluarga masing-masing. Ada yang berhajat untuk berpindah ke kediaman sendiri, ada yang menum­pang rumah saudara, ada yang menyewa terus.

“Ada juga mangsa dan keluarga yang terus mengambil insentif yang diberikan oleh kerajaan iaitu penempatan inap desa daripada AirBnB dan juga ada yang ditaja oleh ahli parlimen untuk pindah ke hotel untuk sementara waktu.

“Untuk hari ini ada 60 keluarga yang masing-masing telah keluar yang terakhir keluar pada pukul 2 petang sebentar tadi,” katanya kepada pemberita di PPS berkenaan.

Huzunul turut memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat pengumuman rasmi berhubung penutupan PPS berkaitan insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan, sokongan dan doa yang berterusan kepada mangsa tragedi.

“Saya mewakili semua petugas dan agensi yang terlibat mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT dan rakyat Malaysia atas segala bentuk bantuan. Tanpa sokongan bersama, segala urusan tidak akan semudah ini,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan operasi ini merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi penyelamat, pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata, sebanyak 116.22 tan sampah berjaya dikutip dalam hari pertama pelaksanaan Ops Mega Pembersihan Putra Heights yang dijalankan di kawasan terlibat kelmarin.

Katanya, tahap kemajuan kerja pembersihan berada pada 80 peratus membabitkan 12 zon utama dan kawasan dikendalikan KDEB Waste Management (KDEBWM).

“Antara kawasan paling tinggi jumlah sisa dikutip adalah Zon 10 dengan 24 tan, diikuti kawasan KDEBWM (27 tan), Zon 3 dan Zon 4 (masing-masing 12 tan).

“Di Zon 9 (lapan tan sisa kutipan), Zon 11 dan 12 (tujuh tan), Zon 1, 2, 5, dan 7 (masing-masing dengan enam tan) manakala Zon 8 dengan 2.2 tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu juga, skop kerja yang dijalankan termasuk mengangkat sampah dibuang penduduk, mencuci lorong belakang, mencuci longkang dan jalan.

Selain itu, kerja-kerja berkenan turut melibatkan pembersihan serpihan binaan, memotong pokok mati, mencuci ruang parkir kenderaan (yang dibenarkan) serta kawasan taman permainan.

Tragedi 13 hari memusnahkan 237 premis dan kediaman, mencederakan 305 mangsa dan merosakan 390 kenderaan milik penduduk.

Pada 2 April lalu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi berkata, usaha memindahkan mangsa perlu dilakukan segera kerana PPS tidak sesuai digunakan secara berterusan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor memberi jaminan kerajaan negeri akan berbincang dengan pelbagai pihak untuk memindahkan mangsa-mangsa ke lokasi yang lebih selesa dan tersusun. – UTUSAN

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search