PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Tragedi Putra Heights: Polis KL dapatkan pengalaman Polis Selangor tangani konflik bencana

Tragedi Putra Heights: Polis KL dapatkan pengalaman Polis Selangor tangani konflik bencana

KUALA LUMPUR: Kepimpinan tertinggi Polis Kontinjen Kuala Lumpur, melakukan lawatan kerja ke lokasi tragedi letupan paip gas dan kebakaran di Putra Heights, bagi tujuan mendapatkan pengalaman mengenai situasi dan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kejadian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tujuan utama lawatan itu adalah mendapatkan pengalaman dari Polis Kontinjen Selangor, bagaimana cara dan tindakan mengikut SOP sewajarnya semasa menangani situasi dan konflik di tempat kejadian itu.

"Melalui lawatan dan taklimat yang disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan selaku Komander Operasi dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, barulah kami (Polis KL) mengetahui mengapakah siasatan di lokasi kejadian ini terpaksa mengambil masa.

"Banyak pendedahan dan pengalaman yang kami perolehi terutamanya mengapakah proses pengendalian tragedi ini memerlukan dua pasukan iaitu Pasukan Siasatan dan Pasukan Teknikal.

"Bagi saya lawatan ini sangat bermakna terutamanya kepada semua dari kontinjen lain dalam mempelajari dan mendapatkan pengalaman dalam menghadapi sebarang situasi seperti di Putra Heights ini," katanya kepada media di sini, hari ini.

Rusdi mengetuai lawatan berkenaan yang turut disertai oleh timbalannya, Datuk Azry Akmar Ayob; Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Polis Daerah (KPD) Kuala Lumpur.

"Lawatan ini memberikan pengalaman penting dan situasi sebenar dari bilik taklimat sehingga ke ground zero iaitu lokasi kejadian letupan berlaku pada 1 April lalu," katanya.

Beliau berkata, Kuala Lumpur yang berada di tengah-tengah negeri Selangor, tidak terlepas dari pelbagai kejadian bencana dan tragedi termasuk kejadian tanah mendap.

"Pegawai dan anggota polis Kontinjen Selangor sendiri pastinya mempunyai banyak pengalaman berdasarkan kejadian-kejadian lain yang pernah berlaku dalam kawasan pentadbiran mereka disebabkan kedudukan geografinya yang sangat besar," katanya.

Beliau berkata, melalui panduan yang diperoleh dari lawatan itu, beliau yakin pegawai kanan Polis Kuala Lumpur akan memahami sebarang tindakan segera yang harus diambil mengikut SOP tertentu jika sesuatu atau tragedi tidak diingini berlaku.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search