Tanah runtuh hempap dinding rumah
- Admin UKK
- Berita
Gombak: Tanah runtuh menghempap dinding sebuah rumah di Kampung Orang Asli, Batu 12 di sini, pagi ini.
Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.05 pagi.
Pengarah JBPM Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi membabitkan kekuatan enam pegawai serta anggota.
"Komander operasi memaklumkan kejadian tanah runtuh berkenaan menghempap dinding rumah.
"Namun tiada mangsa dilaporkan terbabit kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, beliau berkata, anggota membuat pemantauan di kawasan sekitar dan memberi nasihat kepada penghuni.
Katanya, bomba kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak polis serta pihak Pejabat Daerah dan Tanah Gombak untuk tindakan lanjut.