Gegaran susulan, cuaca panas cabaran utama Pasukan SMART Malaysia di Myanmar
- Admin UKK
- Berita
SEPANG: Pergerakan Pasukan MAS-01 SMART NADMA, operasi MyTeam Relief Gempa Bumi Myanmar, berhadapan pelbagai risiko ketika melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi di Myanmar, yang berlaku pada 28 Mac lalu.
Antara cabaran utama Pasukan MAS-01 SMART adalah terpaksa melalui kerenah birokrasi lebih 10 pos sekatan dan pemeriksaan oleh pihak yang menguasai kawasan-kawasan tertentu ketika menuju ke kawasan terjejas akibat gempa bumi di Naypyidaw, Mandalay dan Sagaing.
Selain itu, cuaca panas sehingga 42 darjah celcius, kekangan sumber elektrik akibat gempa bumi serta masalah komunikasi dengan penduduk setempat turut memberi cabaran besar untuk pasukan penyelamat negara.
Komander Kontinjen MAS-01, Penguasa Kanan Bomba II, Mohamad Hafiezul Abdul Halim berkata, meskipun berhadapan pelbagai rintangan dan cabaran, Pasukan MAS-01 SMART menerima kerjasama yang sangat baik dari pasukan kecemasan dan bencana di Myanmar iaitu Pihak Pengurusan Bencana dan Kecemasan Tempatan (LEMA) sebelum kita ditugaskan di tiga lokasi utama 'ground zero' di sana.
"Sepanjang kita berada di sana, kita diberikan satu polis pengiring dan pergerakan kita adalah amat terhad.
"Apabila kita hendak bergerak dari satu ke satu kawasan SAR, kita perlu lapor dan hanya diberi kebenaran untuk melaksanakan tugas di satu kawasan saja dan tidak boleh ke kawasan lain dan kami harus memberi tumpuan tugas SAR di 'worksite' berkenaan saja walaupun ada kawasan berhampiran lain turut terjejas.
"Pada kebiasaannya dalam operasi SAR di misi-misi yang lain, kita akan membuat proses mengesan mangsa yang masih hidup dari satu kawasan ke kawasan yang lain.
"Jika ada mangsa yang telah mati kita akan memberikan tanda terhadap lokasi itu dan datang semula untuk tindakan selanjutnya atau diteruskan oleh pihak yang lain, namun kali ini pergerakan tugas SAR kami terhad.
"Di sini, kita menfokus dari satu kawasan ke satu kawasan, kita menggunakan segala peralatan dan kaedah-kaedah kepakaran yang kita ada serta gunakan kamera iris selepas mendapatkan maklumat dari penduduk kampung (penduduk setempat)," katanya kepada BH hari ini.
Beliau berkata, paling membanggakan, Pasukan MAS-01 SMART turut diraikan oleh penduduk tempatan dan pasukan bomba tempatan di sektor Sagaing selepas menemui dan menyelamatkan seorang guru berusia 47 tahun yang terperangkap dalam runtuhan sebuah hotel.
Katanya, akibat konflik domestik di Myanmar juga, Pasukan MAS-01 SMART terpaksa mengambil masa melalui pemeriksaan dan sekatan jalan raya oleh pihak-pihak yang menguasai wilayah dan daerah tertentu sebelum dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke kawasan bencana.
Anggota wanita Pasukan SMART, Avlyanie Moidi, yang bertugas sebagai penyampai maklumat dan penyelamat berkata, cabaran yang dihadapi adalah ketiadaan sumber elektrik akibat kerosakan ketika gempa dan bekalan air bersih di kawasan pelaksanaan operasi SAR.
Meskipun pasukannya mempunyai bekalan air sendiri, namun ia hanya untuk tempoh yang terhad.
"Kami berhadapan kesukaran ketika mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat mengenai kawasan 'worksite' atau kerja SAR kami disebabkan komunikasi dan pertuturan.
"Ini kerana mereka (penduduk setempat) tidak fasih berbahasa Inggeris dan kami hanya berkomunikasi dengan terpaksa mendapatkan bantuan pihak lain yang pastinya akan mengambil masa.
"Komunikasi penting dalam operasi SAR kerana kami harus mengetahui berapa ramaikah orang yang mungkin terperangkap dalam sesuatu runtuhan," katanya.
Beliau yang juga anggota pasukan bomba dan menyertai Pasukan SMART sejak 2021 berkata, kehadiran pasukan Malaysia sebenarnya mempermudahkan operasi SAR di Myanmar.