Letupan paip gas Putra Heights: Nilai kerosakan rumah RM65.4 juta
- Admin UKK
- Berita
Shah Alam: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan nilai kerosakan rumah yang terjejas dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights berjumlah RM65.4 juta.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang membuat cerapan awal nilai kerugian akibat kerosakan bagi rumah sahaja dalam mesyuarat pagi hari ini.
"Daripada pengamatan pihak bomba, kita dapati kos kerosakan, kerugian yang terkesan di unit rumah ini adalah sebanyak RM65.4 juta termasuk kos untuk pendawaian elektrik.
"Dengan tindakan pantas oleh pihak bomba juga pasukan keselamatan kita, serta usaha penduduk-penduduk, kita dalam menyelamatkan sebanyak RM285.9 juta.
"Penilaian kerosakan kepada infrastruktur awam dan kawasan berdekatan sedang berjalan," katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Annexe di sini, hari ini.
Amirudin berkata, sebanyak 151 rumah disahkan selamat sehingga semalam dan pemilik rumah ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"Pasukan sukarelawan seperti Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Team Selangor sudah turun ke rumah-rumah ini untuk membantu proses pembersihan dengan kebenaran pemilik rumah agar mereka dapat mula kembali ke kehidupan harian dengan lebih pantas," katanya.
Dalam pada itu katanya, seramai 28 pelajar yang berada di PPS diberikan pengangkutan secara percuma dari PPS ke sembilan sekolah dengan kerjasama kenderaan Prasarana Sdn Bhd serta diselaraskan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor serta pasukan sukarelawan pada hari ini.
"Selain itu, pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) akan memberikan bantuan sebanyak RM500 kepada 265 pelajar bagi membolehkan mereka membeli keperluan asas yang musnah akibat kebakaran.
"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri juga akan memulakan usaha sokongan moral seperti kaunseling khusus kepada pelajar terkesan trauma akibat mengharungi tragedi kejadian kebakaran tempoh hari.
"Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri juga akan menghantar guru ke PPS bagi membantu pelajar meneruskan sesi pembelajaran," katanya.