PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Sandakan, Beluran, Pitas dilanda banjir

Sandakan, Beluran, Pitas dilanda banjir

KOTA KINABALU: Tiga daerah di pantai timur dan utara Sabah diisytihar kawasan bencana berikutan banjir yang melanda beberapa kampung sejak malam tadi.

Daerah terbabit ialah Sandakan, Beluran dan Pitas, masing-masing diisytihar banjir bermula tengah malam tadi dan awal pagi ini.

Di Sandakan, kawasan yang terjejas ialah di Kampung Sungai Memanjang dan ketika ini dua pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka iaitu di Masjid Nur Iman, Sungai Memanjang dan Masjid Nur Hidayah, Kampung Garinono.

Pemindahan mangsa dilakukan sejak pagi tadi selepas kediaman penduduk mula dinaiki air dan tidak selamat untuk diduduki.

Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, seramai 65 mangsa sudah dipindahkan di dua PPS di Beluran sejak malam tadi.

Jumlah itu masing-masing 20 mangsa di Dewan Kampung Balaban Jaya dan 45 mangsa di Dewan Kampung Sungai Nangka, Beluran.

Bagaimanapun, di Pitas, tiada PPS yang dibuka setakat ini dan disahkan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Asdie @ Mohd Faizal Hussin.

Banjir di tiga daerah terbabit berpunca daripada hujan berterusan sejak semalam yang menyebabkan paras air beberapa sungai meningkat hingga melimpahi tebing dan membanjiri kawasan rendah.

Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain banjir, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Taman Sentosa, Sandakan pada jam 9 pagi tadi.

From: Thaddius

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search