PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Sahur terakhir sebelum ajal tertimbus tanah runtuh

Sahur terakhir sebelum ajal tertimbus tanah runtuh

Kota Kinabalu: Seorang ibu yang baru selesai bersahur, maut selepas tertimbus bersama rumahnya akibat tanah runtuh di Kampung Lok Bonu, Sepanggar, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, Sitti Harija Norulla, 53, dilaporkan meninggal dunia selepas tertimbus tanah runtuh yang meranapkan rumahnya.

Seorang anak mangsa dikenali sebagai Al, 39, berkata, ketika kejadian, dia bekerja di sebuah kilang tidak jauh dari rumah keluarganya.

Katanya, ketika itu, ibu dan adiknya iaitu Zulkiman, 25, dikatakan baru selesai bersahur bersama sebelum terdengar bunyi kuat.

"Menurut adik, dia cuba keluar untuk memeriksa keadaan, tiba-tiba berlaku gegaran. Adik beritahu masa itu dia cuba menarik tangan ibu untuk keluar, namun gegaran sangat kuat dan terus tercampak. Rumah kami pun sudah bergerak beberapa meter dari lokasi asal.

"Selepas itu, saya yang dihubungi bergegas pulang dan cuba mencari bersama penduduk kampung sebelum menemukan ibu dalam timbunan tanah runtuh," katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, dia dan penduduk kampung cuba mengeluarkan ibunya, namun terlalu sukar dan terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 4.32 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati tanah runtuh menimbus sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 14 meter persegi yang musnah sepenuhnya.

"Terdapat dua mangsa terbabit dan salah seorang iaitu wanita berusia 53 tahun tertimbus dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala seorang lagi mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja pemantauan di lokasi masih giat dijalankan dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search