PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

NADMA mungkin perlu penstrukturan semula - Ismail Sabri

NADMA mungkin perlu penstrukturan semula - Ismail Sabri

 

KOTA BHARU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan membincangkan kemungkinan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu dilakukan penstrukturan semula bagi membolehkan punca kuasa ditambah pada peringkat negeri dan daerah.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan struktur NADMA ketika ini hanya membabitkan peringkat pusat, dan tiada di negeri serta daerah.

 

"Kita akan membincangkan perkara itu. Mungkin perlu dilakukan penstrukturan semula supaya punca kuasa itu boleh ditambah.

"NADMA sekarang hanya sebagai penyelaras, namun di negeri masing-masing ada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah. NADMA hanya panggil untuk mesyuarat dan mungkin kuasa itu boleh dilihat semula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas bersama pemimpin Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, mesyuarat berkenaan antara lain akan membincangkan penyelesaian banjir untuk jangka panjang.

Beliau berkata, pihaknya akan mengkaji secara menyeluruh soal banjir kerana isu berkenaan sudah sekian lama berlarutan.

"Apa yang kita lakukan sekarang adalah seperti buat ad-hoc sahaja sejak dulu, sedangkan ia membabitkan perbelanjaan besar setiap kali banjir.

"Jika kita tidak mengambil langkah penyelesaian jangka panjang, kerajaan akan mengalami kerugian lebih besar. Tahun ini, Menteri Kewangan mengatakan kerajaan perlu mengeluarkan sejumlah RM6 bilion, tidak termasuk RM1.5 bilion bantuan terus kepada rakyat serta kerosakan infra.

"Sedangkan banyak perkara boleh dilakukan dengan jumlah berkenaan sebagai langkah pencegahan untuk masa depan. Justeru, kita akan bincang secara menyeluruh dari segi perancangan dan kos yang diperlukan," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan mungkin akan memfokus di satu atau dua tempat yang berisiko banjir setiap tahun, seperti Kuala Krai dan Rantau Panjang jika di Kelantan.

Beliau berkata, sekiranya ia membabitkan perbelanjaan yang besar, langkah penyelesaian itu mesti mengambil masa hingga 10 tahun.

 

- Berita Harian

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search