PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

28 kementerian terima peruntukan tambahan RM56 juta latih pegawai 7 bidang tujahan baharu

28 kementerian terima peruntukan tambahan RM56 juta latih pegawai 7 bidang tujahan baharu

PUTRAJAYA: Sebanyak RM56 juta peruntukan tambahan akan disalurkan kepada 28 kementerian dalam tempoh terdekat bagi melatih penjawat awam menerusi tujuh bidang tujahan baharu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata bidang itu membabitkan kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, keselamatan siber, peralihan tenaga, keterjaminan dan teknologi makanan, persempadanan negara serta pengurusan bencana.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran kepada 28 kementerian berkenaan untuk mengenal pasti pegawai berpotensi bagi menjalani latihan bidang yang perlu dikembangkan di tempat masing-masing.

"Kita akan salurkan peruntukan ini kerana kita berpandangan, kementerian lebih mengetahui apa bidang yang mereka perlukan di kementerian masing-masing, berdasarkan tujuh bidang tujahan ini.

"Kementerian kena pastikan pegawai yang ada potensi untuk pergi lebih jauh dan bidang apa yang mereka nak lengkapkan di kementerian mereka," katanya pada sesi temubual bersama Berita Harian dan Bernama di sini, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, biarpun kelonggaran diberikan, kementerian perlu mengemukakan cadangan berhubung pegawai dan bidang tujahan yang dipilih kepada JPA terlebih dahulu.

 Katanya, JPA tidak mahu sebarang usaha yang hendak dilaksanakan, tersasar daripada hasrat sebenar diinginkan kerajaan.

"Kadang-kadang kementerian ada keutamaan mereka sendiri. Jadi saya tak nak nanti, peruntukan yang bukan banyak sangat apabila kita bahagikan ini, tidak digunakan ke tempat yang sepatutnya.

"Kita nak memperkasakan tujuh bidang tujahan. Sebab kalau kita bercerita mengenai kawalan sempadan (sebagai contoh), ia akan membabitkan KDN (Kementerian Dalam Negeri), MKN (Majlis Keselamatan Negara), Kementerian Pengangkutan.

"Jadi keutamaan kita, memberi kelonggaran kepada kementerian untuk mereka kenal pasti bidang yang bagaimana perlu mereka perkasa lagi ilmu pengetahuan untuk pegawai mereka," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, kerajaan akan meneruskan inisiatif menghantar pegawai mendapatkan latihan lanjut di luar negara menerusi Program Pembangunan Kepakaran dan Perunding Kerajaan.

Katanya, untuk tahun ini terdapat 140 tempat disediakan untuk penjawat awam menjalani latihan bagi meningkatkan lagi ilmu dan kepakaran mereka.

"Tahun lalu kita sudah menghantar 88 penjawat awam mengikut latihan di empat negara membabitkan United Kingdom (UK), Australia, China dan India selama enam bulan.

"Sebagai contoh, pegawai yang mengikuti latihan di UK membabitkan pengurusan bencana, fokus kepada asid deoksiribonukleik (DNA) sebab kalau berlaku bencana, kita ambil contoh tragedi Highland Towers, ada mangsa yang tidak sempurna.

"Jadi kita hantar pegawai bagaimana menguruskan isu yang berkaitan dengan mengenal pasti mangsa ini. Apa langkah yang mereka perlu ikuti dan sebagainya," katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, pegawai yang selesai menjalani latihan itu kemudian akan pulang ke tanah air dan berkongsi ilmu pengetahuan yang mereka peroleh.

"Seperti saya katakan, saya mempunyai perancangan. Mereka yang kertas projeknya mendapat pengiktirafan daripada tempat mereka belajar, mereka perlu bentangkan.

"Kita akan kumpul pegawai daripada setiap kementerian untuk mendengar. Seperti yang saya kata, mungkin tidak berkaitan dengan kementerian berkenaan tapi apa yang kita nak dedahkan adalah idea, pemikiran yang mungkin boleh dibawa ke kementerian lain," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search