PMX zahir rasa sedih, ucap takziah kebakaran di resort ski Turkiye
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa sedih dan takziah terhadap mangsa yang terbabit dalam kejadian kebakaran di sebuah resort ski di Pergunungan Köroğlu, Türkiye yang mengorbankan 76 nyawa.
Beliau berkata, rakyat Malaysia hari ini bersama dengan warga dan kerajaan Turkiye yang sedang berkabung akibat tragedi itu.
"Saya berasa sedih dengan kejadian kebakaran dahsyat di sebuah resort ski di Pergunungan Köroğlu, Türkiye, yang secara tragis meragut 76 nyawa dan mencederakan ramai lagi.
"Doa dan rasa simpati saya kepada mangsa, keluarga mereka yang sedang berduka dan terkesan akibat tragedi ini.
"Malaysia berdiri bersama rakyat dan kerajaan Türkiye sewaktu negara itu berkabung atas tragedi ini," katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Media antarabangsa hari ini melaporkan, sekurang-kurangnya 76 maut dalam kebakaran besar yang memusnahkan sebuah hotel di pusat peranginan ski popular di utara Turkiye, yang dipenuhi pengunjung untuk menikmati cuti musim sejuk mereka bersama keluarga.
Kebakaran di Hotel Grand Kartal di Kartalkaya berlaku sekitar jam 3:30 pagi (0030 GMT), mengeluarkan kepulan asap besar ke udara sehingga mencetuskan panik dalam kalangan pengunjungnya.
"Malangnya jumlah kematian kini 76 orang," kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, pada malam Selasa, mengemas kini angka awal yang mencatatkan 66 kematian.
Beliau berkata, 52 daripada mangsa sudah dikenal pasti setakat ini, dengan pakar forensik berusaha untuk menentukan identiti yang lain dan kebanyakan mayat mangsa sudah diserahkan kepada keluarga mereka.