PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Rumah dalam binaan ‘hilang’ dibadai ombak

Rumah dalam binaan ‘hilang’ dibadai ombak

Impian sebuah keluarga menyambut Aidilfitri di rumah baharu berkecai apabila kediaman yang masih dalam pembinaan di Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, sejak lapan tahun lalu roboh dibadai ombak.

Zamri Sulong, 42, berkata rumah berkenaan yang dibina di atas tanah peninggalan arwah bapanya sudah siap 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac ini.

Katanya, dia bercadang untuk menduduki rumah berkenaan pada Aidilfitri, namun semuanya berkecai apabila kini hanya tapak rumah yang tinggal selepas semuanya sudah dihanyutkan ke laut.

“Lapan tahun saya buat rumah ini sedikit demi sedikit menggunakan wang sendiri.

“Hanya 70 peratus lagi nak siap. Atap pun sudah beli, hanya tunggu untuk pasang sahaja. Kalau dikira sejak awal bina hingga sekarang, saya sudah mengeluarkan RM40,000,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada sesi dialog bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman bersama 40 mangsa hakisan pantai di Kampung Pantai dan Kampung Tanjung Batu Rakit, di Pejabat DUN Batu Rakit, di sini semalam.

Hanya tinggal geran

Zamri berkata, selain rumah, dia turut kehilangan tanah peninggalan arwah bapa yang kini hanya tinggal geran, manakala tanah sudah berada di dalam laut.

Katanya, dia tidak tahu bagaimana hendak membayangkan kesedihan ketika melihat rumah berkenaan runtuh sedikit demi sedikit sebelum dibawa ombak.

“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya, isteri dan empat anak melihat keadaan itu.

“Lapan tahun saya bina rumah ini untuk beri keselesaan kepada keluarga tetapi akhirnya penat lelah saya hilang begitu sahaja.

“Walaupun sedih, kami reda dengan musibah yang berlaku. Cuma sekarang tidak tahu macam mana nak buat rumah baharu sedangkan tanah pun tak ada,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, dia bersama keluarga terpaksa tinggal di rumah sewa yang dibiayai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Kampung Mengabang Telong, di sini.

Zamri berkata, dia berterima kasih kepada MAIDAM yang membiayai sewa rumah berkenaan.

“MAIDAM hanya bayar (sewa) selama setahun, selepas itu saya terpaksa memikirkan bagaimana hendak membayar sewa rumah sedangkan kerja pun hanya mampu untuk menyara keluarga,” katanya yang melakukan kerja kampung sebagai punca rezeki.

Zamri berkata, dia kesal apabila kerajaan seolah-olah meminggirkan nasib mangsa hakisan di kampung berkenaan apabila tidak ada sebarang bantuan diterima bagi meringankan beban dan kesedihan akibat bencana alam itu.

“Kalau mangsa banjir yang ada antaranya tidak membabitkan kehilangan harta benda dapat bantuan tetapi kami mangsa hakisan yang kehilangan rumah, tanah langsung tidak mendapat apa-apa sumbangan,” katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search