Banjir di Sibu masih terkawal walaupun paras air tunjuk trend peningkatan: Residen
- Admin UKK
- Berita
SIBU: Keadaan banjir di sini masih terkawal, walaupun paras air menunjukkan trend peningkatan, kata Residen Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu itu memaklumkan bahawa setakat ini, belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di sini.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan tentera (ATM) sedang melakukan pemantauan sepanjang masa di setiap kawasan yang berisiko,” katanya kepada The Borneo Post semalam ketika diminta mengulas mengenai situasi banjir di sini.
Sementara itu, di Kanowit, Abang Mohamad berkata, satu PPS di Nanga Ngungun dibuka malam tadi untuk menempatkan ketua isi rumah (KIR) yang terdiri daripada 18 orang.
Hasil pemerhatian di Jalan Khoo Peng Loong pagi ini mendapati banjir telah surut walaupun paras air masih tinggi.
Sementara itu, apabila dihubungi malam tadi mengenai punca kemungkinan banjir, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu Rudi Abang Zamhari berkata fenomena air pasang besar yang berlaku serentak dengan hujan lebat di Sibu serta kawasan tadahan hulu Sungai Rajang menjadi punca utama.