Bomba selamatkan keluarga terperangkap banjir di Ranau
- Admin UKK
- Berita
RANAU: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan empat sekeluarga yang terperangkap banjir kilat di Kampung Sedul 1 Ranau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd.Taip berkata, panggilan kecemasan diterima jam 9.35 malam sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi yang terletak 16 kilometer dari BBP Ranau.
“Semasa ketibaan pasukan bomba di lokasi, terdapat sebuah keluarga masing-masing dua dewasa dan 2 kanak-kanak terperangkap banjir.
“Pasukan bomba bertindak menyelamatkan mangsa terperangkap banjir untuk menyeberang sungai yang dinaiki air dengan menggunakan tali dan jaket keselamatan.
“Mangsa seterusnya dihantar ke rumah saudara-mara,” katanya.
Beliau berkata, selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan jam 11.22 malam.
Sebelum itu katanya, pasukan bomba menjalankan pemantauan di empat kampung yang terjejas akibat banjir kilat iaitu di Kampung Libang, Kananapon, SK Libang dan Kituntul.