Pintu dua, tiga JKDM laluan ke pekan Rantau Panjang dinaiki air
- Admin UKK
- Berita
RANTAU PANJANG: Pintu dua dan tiga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM yang menjadi laluan ke kawasan bebas cukai, Rantau Panjang, dinaiki air separas 0.3 hingga 0.8 meter sejak malam tadi
Peniaga, Yusuff Ahmad, 53, berkata laluan pintu satu serta dua berada di kawasan yang agak rendah dan biasanya menjadi antara lokasi awal dinaiki air jika paras Sungai Golok berdekatan melepasi paras bahaya.
"Walaupun perniagaan masih beroperasi namun tidak ramai peniaga yang membuka premis jualan susulan bimbang paras air akan terus meningkat hari ini. Tambahan pula, majoriti peniaga sudah mula mengemas kedai sejak semalam lagi.
"Banjir kali ini agak berbeza kerana cuaca cerah tetapi paras air meningkat kemungkinan kerana hujan di bahagian hulu menyebabkan air di Sungai Golok melimpah dan membanjiri kawasan rendah.
"Saya sendiri akan menutup kedai lebih awal pada hari ini kerana pelanggan juga tidak begitu ramai selain mahu pulang ke rumah untuk mengemas kerana kediaman saya juga turut dinaiki air," katanya ketika ditemui di pekan Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata beberapa kawasan di dalam pekan sudah dinaiki air sejak malam tadi termasuk Jalan Sekolah Cina, Kampung Kedai Lama dan Jalan Parit Air, di sini.
"Paras Sungai Golok kini melepasi tahap bahaya tetapi berada dalam trend mendatar dan keadaan masih lagi terkawal. Bagaimanapun, terdapat beberapa pemindahan dilakukan anggota membabitkan penduduk di kawasan rendah.
"Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan peka dengan keadaan semasa selain perlu berpindah awal jika paras air semakin bertambah terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan sukar diakses," katanya.
Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang menunjukkan bacaan 10.41 meter melepasi paras bahaya setakat jam 11.15 pagi, hari ini.