PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir akibatkan 2 kejadian tanah runtuh, jalan terputus

Banjir akibatkan 2 kejadian tanah runtuh, jalan terputus

Banjir di Kelantan sejak kelmarin terus membawa cabaran besar apabila berlaku dua kejadian tanah runtuh dan dua jalan utama terputus di jajahan Machang.

Kejadian itu melumpuhkan pergerakan penduduk setempat dan meningkatkan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub, berkata dua jalan terputus ialah Jalan Persekutuan di FT 479 Jalan Kemuning-bukit Belah dan jalan Negeri D16 Jalan Batu 30-Temangan akibat dinaiki air.

Beliau berkata, semua jalan yang terputus itu tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan berat dan ringan kerana kedalaman air kira-kira 0.8 meter.

“Dua kejadian tanah runtuh pula berlaku di jalan masuk ke stesen VHF Bukit Bakar dan FT 008 jalan Kota Bharu-gua Musang berdekatan dengan Dataran Bukit Belah.

“JKR meletakkan papan tanda amaran dan penghadang di kawasan terbabit supaya pengguna berhati-hati serta mematuhi peraturan ditetapkan supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya semalam.

Nik Soh berkata, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif dan melayari laman web https://bencana.jkr.gov.my/ untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai situasi semasa, seperti jalan tutup dan tanah runtuh yang berlaku di kawasan terbabit, seperti laporan BERNAMA.

 

Kerugian RM20,000

Sementara itu di Tanah Merah, Masjid Haji Abdullah, Mukim Panglima Bayu, di sini kerugian hampir RM20,000 selepas rosak akibat banjir yang turut membawa arus sangat deras.

Imam masjid, Adli Ab Halim, berkata banjir dengan arus yang sangat deras seakan-akan kepala air, bermula jam 3 petang dan surut pada jam 10 malam hari sama, kelmarin susulan hujan hulu di kawasan bukit berdekatan.

Katanya, kerugian itu membabitkan kerosakan teruk di bahagian luar masjid termasuk meja, kerusi, pagar dan tempat parkir yang berlubang susulan arus yang sangat deras.

“Bagaimana pun, kami bersyukur kerana air tidak memasuki bahagian dalam masjid dan sudah pasti nilai kerugian lebih tinggi jika berlaku demikian. Masjid ini sebenarnya sudah dibina semula dengan lebih tinggi kerana hampir setiap tahun dilanda banjir.

“Banjir semalam selama lapan jam, lebih teruk berbanding gelombang pertama pada hujung bulan lalu, tambahan pula ia terletak berhadapan jalan utama yang dilalui kenderaan berat.

“Apabila kenderaan berat melalui jalan ini, arus banjir semakin deras menyebabkan banyak kerosakan, padahal pengurusan masjid baru sahaja membaik pulih kerosakan akibat bah gelombang pertama,” katanya.

Adli berkata, ahli jawatankuasa masjid bersama penduduk kampung akan bergotong-royong untuk membersihkan halaman yang dinaiki air.

“Selagi Monsun Timur Laut (MTL) masih belum tamat, pihak pengurusan masjid tidak dapat tidur lena,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search