PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Syor tuala wanita masuk dalam kit bantuan banjir

Syor tuala wanita masuk dalam kit bantuan banjir

Banjir gelombang kedua sudah mula melanda Kelantan dan Terengganu, sekali lagi mengundang detik cemas penduduk yang sudah pun terjejas teruk akibat bencana alam sebelumnya.

Di sebalik banyak bantuan seperti makanan dan minuman diberikan, kita terlepas pandang bantuan keperluan asas, terutama berkaitan pengurusan haid.

Meskipun bantuan makanan dan pakaian diagihkan secara meluas, keluhan mengenai kekurangan pad sanitari dan keperluan haid lain semakin banyak didengar.

Seorang mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dalam wawancara dengan media menegaskan dia bersyukur dengan makanan dan selimut diberi, tetapi keperluan seperti tuala wanita sangat sukar didapati.

Ini menyebabkan mangsa banjir itu terpaksa berkongsi dengan orang lain, malah ramai wanita terpaksa bergantung kepada kain biasa kerana tiada pilihan lain.

Situasi perlu dihadapi wanita di PPS ini bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan, malah menimbulkan risiko jangkitan pada saluran kencing dan organ reproduktif seperti ditegaskan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Habibah Abdul Hamid.

Beliau mengingatkan wanita terdedah risiko lebih tinggi kepada jangkitan semasa haid sekiranya kebersihan tidak diberi perhatian.

Dalam satu kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diketuai Prof Madya Dr Latifah Abdul Majid, ia menekankan kepentingan menyertakan bantuan keperluan haid dalam pakej bantuan bencana seperti pad sanitari, sabun dan pakaian dalam bersih.

Utama keperluan khas

Justeru, bantuan keperluan khas itu perlu diberi keutamaan sama seperti makanan dan tempat perlindungan.

Latifah yang juga Pensyarah Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM turut menegaskan bantuan untuk pengurusan haid bukanlah isu kecil kerana berkaitan maruah dan kesihatan wanita, terutama semasa situasi bencana.

Kajian itu menunjukkan kekurangan bantuan keperluan haid boleh menambah tekanan psikologi kepada mangsa wanita.

Semasa tragedi banjir pada 2023, pasukan penyelidik UKM bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan kit bantuan khas kepada mangsa banjir, termasuk pad sanitari, pakaian dalam dan sabun.

Mereka turut mendapati wanita menerima kit ini menyatakan peningkatan ketara dalam keselesaan dan keupayaan menguruskan diri semasa di PPS.

Pengalaman lepas membuka mata ramai pihak mengenai satu keperluan mendesak untuk memasukkan bantuan pengurusan haid sebagai sebahagian standard operasi dalam pengurusan bencana di Malaysia kerana tiada siapa boleh menghalang haid walau dalam tempoh getir.

Usaha ini memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, NGO dan masyarakat umum untuk memastikan keperluan asas mangsa banjir sama ada berada di PPS atau di rumah masing-masing dipenuhi pada masa sama tidak mengabaikan dari sudut kebersihan, kesihatan mental dan keselamatan.

Fenomena banjir semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim membawa keperluan mendesak untuk pelaksanaan langkah proaktif seperti ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan mangsa bencana tidak terabai.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search