Dolak-dalik negara maju salur dana bencana alam rencat Perjanjian Paris 2015
- Admin UKK
- Berita
HARI ini, 12 Disember adalah ulang tahun ke sembilan Perjanjian Iklim Paris 2015 ditandatangani 169 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Malaysia di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB (UNFCCC).
Perjanjian ini membolehkan semua negara mengambil tindakan memerangi kesan perubahan iklim dan memperkenalkan langkah kawalan sewajarnya bagi memastikan had pemanasan global di bawah 2 darjah Celcius dan sebolehnya pada 1.5 darjah Celsius. Ini kerana suhu bumi diramal meningkat kepada 2.7 darjah Celsius menjelang akhir abad ini.
Setiap negara menandatangani perjanjian ini perlu menyediakan dan melaksanakan sumbangan ditentukan pada peringkat nasional merangkumi rancangan konkrit mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.
Negara maju sebelum ini berjanji menyediakan dana kepada negara membangun untuk menyokong tindakan mitigasi dan adaptasi iklim bertujuan membantu negara miskin melaksanakan usaha menangani perubahan iklim tanpa mengorbankan pembangunan ekonomi mereka.
Malangnya, negara maju dilihat lebih sanggup membelanjakan jutaan dolar untuk konflik dan peperangan, tetapi menafikan pembiayaan bagi memenuhi Perjanjian Paris kepada negara membangun.
Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP29) pada 22 November lalu gagal mencapai kesepakatan penuh apabila negara membangun tidak bersetuju dengan nilai dana AS$250 bilion setahun dicadangkan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan sekutu lain.
Atas faktor ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menyuarakan kekecewaan Malaysia terhadap sikap negara maju ini.
Sekiranya dana dari negara maju disalurkan kepada negara membangun termasuk Malaysia seperti dipersetujui, ia akan membantu kerajaan melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi mencapai matlamat iklimnya, termasuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 43 peratus menjelang 2030.
Negara maju dilaporkan sedia menaikkan jumlah itu kepada AS$300 bilion setahun, namun masih dianggap tidak mencukupi oleh negara membangun yang memerlukan dana lebih besar untuk menangani cabaran perubahan iklim.
Bermakna, Malaysia perlu terus lantang menyuarakan pandangan betapa negara maju perlu komited dan menunaikan janji menyalurkan dana sewajarnya kepada negara membangun bagi menjayakan Perjanjian Paris 2015 bersama-sama.
Hakikatnya, pada peringkat domestik, Malaysia sangat komited memenuhi peranannya di bawah Perjanjian Paris untuk fokus kepada mengurangkan kesan kepada perubahan iklim dengan merangka dasar pembangunan lestari seperti dasar tenaga boleh diperbaharui dan pemuliharaan hutan.
Beberapa pelan hala tuju diwujudkan kerajaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) bagi mencapai sifar bersih pada 2050.
Namun, dolak-dalik negara maju seperti merencatkan aspirasi Perjanjian Paris dan aspirasi Malaysia memenuhi obligasinya ke arah mengurangkan impak perubahan iklim dan pemanasan global.