Khidmat cuci komputer percuma
- Admin UKK
- Berita
Kota Bharu: Dua sahabat di sini, menawarkan khidmat pembersihan menyeluruh komputer secara percuma kepada mangsa banjir, bagi membantu meringankan beban mereka yang diuji bencana itu, baru-baru ini.
Khadijah Mod Suhaimi, 32, yang juga pemilik Mumtaz Network berkata, idea itu timbul, apabila beliau serta sahabatnya Siti Ismatu Saadiah Rusly, 32, melihat banyak peralatan elektrik dan elektronik rosak ditenggelami banjir.
Beliau yang telah 10 tahun terbabit dalam perkhidmatan membaiki komputer berkata, sejak membuat hantaran menawarkan khidmat itu di Tiktok Isnin lalu hampir 30 komputer riba milik mangsa banjir sudah dibaiki.
Antara talian hayat untuk komputer mahupun komputer riba yang terjejas adalah dengan pembersihan menyeluruh menggunakan bahan kimia, bagi membersihkan kotoran termasuk lumpur yang memasuki bahagian dalam peralatan itu.
Setiap komponen komputer mahupun komputer riba yang dihantar mangsa banjir akan dibuka untuk kami melihat bahagian yang terjejas, sebelum dicuci dengan bahan kimia khas dan dikeringkan kemudiannya," katanya kepada Bernama di Jalan Kelochor di sini.
Terdahulu, hantaran Khadijah di akaun Tiktok Mumtaz Network mengenai perkhidmatan pembersihan menyeluruh secara percuma kepada mangsa banjir itu tular sehingga dikongsikan hampir 5,000 pengguna Tiktok.
Bercerita lanjut, siswazah jurusan Kejuruteraan Perisian Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) itu berkata, kebanyakan mangsa banjir yang menghantar komputer riba untuk dibaiki itu dari Tumpat, Pasir Puteh dan juga Pasir Mas.
"Saya dibantu Siti Ismatu Saadiah mampu membaiki hingga enam komputer riba sehari bergantung tahap kerosakan. Kebiasaannya khidmat ini & nbspdikenakan caj RM150 hingga RM300, namun saya anggap ini usaha kecil kami bagi meringankan beban mangsa banjir," katanya.
Khadijah turut menasihatkan sekiranya ada komputer riba mahupun komputer yang ditenggelami banjir agar tidak menghidupkan alat elektronik itu sebelum melakukan pembersihan menyeluruh, untuk mengelakkan kerosakan lebih teruk, sekali gus tidak dapat digunakan lagi.
"Sekiranya tidak menghidupkan terlebih dahulu alat elektronik mereka sehingga pembersihan menyeluruh dilakukan, ia mempunyai potensi digunakan seperti sedia kala. Alhamdulillah setakat ini peralatan elektronik yang dihantar kepada saya dapat berfungsi semula dengan baik," katanya.
Beliau berkata, perniagannnya beroperasi setiap Ahad hingga Khamis dan buat masa ini khidmat pembersihan komputer yang ditawarkan masih tidak mempunyai had waktu, memandangkan sesetengah mangsa banjir masih lagi terkandas.