KPM gerakkan 300 sukarelawan Skuad Ihsan MADANI bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menggerakkan lebih 300 sukarelawan Skuad Ihsan MADANI untuk memberi bantuan di kawasan terjejas banjir.
Pelepasan sukarelawan KPM terdiri Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Smart Support Team (SST), sukarelawan Guru Insani, sukarelawan Biro Kebajikan Dan Sosial (MESCA) ini disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Pada majlis sama, sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn berjumlah RM100,000 turut diserahkan bagi menjayakan operasi bantuan dan penyerahan peralatan pembersihan pasca banjir.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.
KPM melalui kenyataan berkata Skuad Ihsan MADANI ini akan melaksanakan operasi bantuan di dua zon terjejas banjir iaitu di Zon Utara dan Zon Timur.
"Antara diberi tumpuan adalah pelaksanaan kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir bagi mengurangkan beban mangsa terjejas, serta membantu mereka yang sedang dalam fasa pemulihan untuk kembali menjalani kehidupan pasca banjir.
"Selain membawa harapan rakyat terjejas yang memerlukan bantuan segera, Skuad Ihsan MADANI adalah cerminan perpaduan dan kesepakatan Malaysia MADANI dalam mendepani musibah," katanya.