PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bomba tambah baik operasi, selaras logistik hadapi risiko gelombang kedua banjir

Bomba tambah baik operasi, selaras logistik hadapi risiko gelombang kedua banjir

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysian (JBPM) akan melakukan penambahbaikan dari segi pergerakan operasi ketika banjir terutama dalam konteks penyelarasan logistik bagi menghadapi risiko gelombang kedua bencana itu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, penyelarasan dan penambahbaikan dilakukan mengambil kira situasi gelombang pertama di Kelantan, dengan bedah siasat turut dilakukan bagi membolehkan tugas operasi menyelamat mangsa dilakukan dengan cepat.

“Berdasarkan penilaian awal dilakukan di kawasan Rantau Panjang, kita tidak menjangka air naik secara mendadak sehingga menyebabkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang ditenggelami banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Bilik Gerakan Operasi Banjir di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan di Tunjong, di sini, sempena Program Lawatan Turun Padang Operasi Banjir Monsun Timur Laut.

Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, ramai pengguna media sosial berkongsi situasi kritikal banjir di Kelantan baru-baru ini dan mereka berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat termasuk anggota bomba.

“Dalam operasi menyelamat beberapa pertimbangan utama perlu di ambil kira pasukan penyelamat kerana sekiranya berlaku perkara luar jangka, ramai mangsa tidak boleh diselamatkan.

“Apabila melihat risiko air deras, perkara utama perlu dilakukan adalah memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat sementara pasukan penyelamat mengambil masa bagi menilai keadaan ketika itu untuk masuk ke kawasan terjejas bagi meneruskan operasi menyelamat,” katanya.

Beliau menegaskan keseluruhan persiapan banjir kali ini teratur dengan 82,000 anggota pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi sudah berada di lapangan dan bersiap sedia menghadapi banjir gelombang seterusnya.

“Daripada jumlah itu, 20,000 adalah pasukan penyelamat daripada JBPM.

“Dari segi logistik pula, sebanyak 62 unit bot, 46 unit kenderaan pacuan empat roda, 12 unit lori, sembilan kenderaan unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan juga helikopter sedia digerakkan,” katanya.

Beliau berpuas hati dengan semua persiapan dan gerak kerja yang sudah dilakukan oleh semua agensi penyelamat sama ada di lapangan mahupun peringkat operasi negeri di lokasi yang terjejas banjir.

 

 

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search