Fasa 2 Ops Payung fokus pembugaran emosi calon SPM di PPS - Fadhlina
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab penuh mengenai kebimbangan terhadap aspek psikososial dan psikologi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPRM) yang terjejas banjir, dengan kaunselor digerakkan untuk memastikan aspek emosi mereka tidak terkesan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata selain kaunselor daripada Unit Bimbingan dan Kaunseling di bawah KPM, barisan kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memastikan aspek pembugaran calon SPM ini emosi berlangsung.
"Dalam konteks peperiksaan, di bawah Ops Payung kita menempatkan semua calon SPM yang terjejas akibat banjir di asrama yang boleh menempatkan mereka dengan selesa dari segi persiapan tempat tinggal dan bantuan lain untuk pembelajaran seperti alat tulis dan persiapan untuk menghadapi peperiksaan.
"KPM mengambil tanggungjawab penuh apabila melihat isu persiapan psikososial dan psikologi seperti yang dibangkitkan.
"Justeru selepas pemindahan (calon SPM melalui Ops Payung), fasa kedua adalah membabitkan pembugaran emosi, di mana kami gerakkan seluruh kaunselor unit bimbingan dan kaunseling, kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), malah kaunselor sukarelawan KPM turut dilibatkan.
"Secara keseluruhan, kaunselor yang membantu di PPS dan calon di asrama bagi tempoh peperiksaan SPM di tiga negeri terjejas banjir adalah masing-masing 110 orang di Kelantan dan Kedah, manakala 90 orang di Terengganu," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu apakah langkah diambil KPM bagi membantu murid yang terjejas akibat banjir dari segi psikososial dan emosi.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan seluruh kekuatan digerakkan untuk memastikan aspek psikologi dan mental calon SPM terjamin dan proses itu berlangsung sepanjang tempoh SPM, dengan mengambil kira luruhan emosi yang akan berlaku.
"Kita bersiap sedia sepanjang tahun dengan sediakan dua pasukan (sukarelawan) SST (Smart Support Team) dan AST (Acedemic Support Team) yang mana 1,580 orang jurulatih utama ditempatkan di PPS.
"Jika ada lagi PPS dibuka, kita akan tambah lagi sukarelawan kaunselor kita," katanya.
Terdahulu, Fadhlina ketika menjawab soalan asal Roslan mengenai jumlah keseluruhan pelajar terjejas akibat banjir dan sekolah digunakan sebagai PPS di seluruh negara, berkata keseluruhan murid ditempatkan di PPS sejak bermulanya monsun timur laut pada 5 November lalu adalah 23,957 orang.
Katanya, tiga negeri merekodkan bilangan murid tertinggi ditempatkan di PPS iaitu Kelantan dengan 17,873 orang, diikuti Terengganu seramai 3,893 orang dan 1,580 (Kedah).
Beliau turut memaklumkan, setakat jam 8 pagi tadi, seramai 7,212 orang murid masih berada di sekolah yang dijadikan PPS.
"Jumlah ini merangkumi Kelantan seramai 5,305 orang, Terengganu, 1,090 orang, Kedah (767), Melaka (30), Johor (18) dan Perak (2)," katanya.
Fadhlina turut memaklumkan 470 institusi pendidikan dioperasikan sebagai PPS membabitkan 392 sekolah rendah, 77 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.
Tiga negeri tertinggi menjadikan sekolah sebagai PPS adalah Kelantan iaitu 240 sekolah, diikuti 137 di Terengganu dan 51 di Kedah.
"Sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak 117 sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS di seluruh negara.
"Ia membabitkan 93 sekolah rendah dan 24 sekolah menengah," katanya.