PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

PNB salur RM4 juta untuk sumbangan banjir

PNB salur RM4 juta untuk sumbangan banjir

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan komitmen untuk menyokong inisiatif bantuan banjir dengan menyalurkan RM4 juta menerusi kerjasama beberapa agensi bagi melaksanakan usaha bantuan.

Pendekatan proaktif PNB mencerminkan komitmennya sebagai warga korporat bertanggungjawab, menunjukkan dedikasi untuk menyokong komuniti terjejas yang memerlukan, terutamanya semasa krisis.

PNB melalui kenyataan berkata sumbangan akan digunakan untuk memberi bantuan segera dan memudahkan proses pemulihan jangka panjang bagi komuniti terjejas akibat banjir.

Ia meliputi kawasan sekitar Kelantan (Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Bachok, Tumpat), Terengganu (Besut, Dungun, Hulu Terengganu), Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar), Negeri Sembilan (Tampin) dan Selangor.

"Sumbangan disalurkan menerusi agensi pengurusan bencana seperti Yayasan Ikhlas, Mercy Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Malaysia Relief Agency (MRA).

"Sumbangan diberi ditumpukan kepada agihan makanan seperti makanan sedia dimakan dan barang keperluan asas seperti khemah komuniti, selimut, tikar dan kit kebersihan diri.

"Peruntukan juga akan diberi kepada inisiatif pemulihan seperti bekalan barangan keperluan kembali ke sekolah dan barangan keperluan asas keluarga, membaiki rumah dan memulihkan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta meningkatkan inisiatif Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH) selepas bencana," katanya.

Sementara itu, PNB memaklumkan RM900,000 daripada jumlah peruntukan berkenaan disalurkan sebelum ini dan digunakan untuk pembelian bot penyelamat serta barangan lain seperti pakaian sekolah, kasut dan beg untuk pelajar terjejas, beg kecemasan bencana dan program peningkatan komuniti.

"Selain menjangkakan cabaran bakal timbul akibat banjir akhir tahun ini, PNB akan terus membuat pendekatan proaktif dan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kami bagi memastikan bantuan berimpak untuk rakyat Malaysia yang terjejas dengan banjir," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search