484 penduduk Sungai Lembing siap sedia hadapi banjir
- Admin UKK
- Berita
KUANTAN: Setiap kali Monsun Timur Laut (MTL), seramai 484 penduduk daripada 242 keluarga di Sungai Lembing di sini, melakukan persediaan awal terutama faktor keselamatan yang menjadi keutamaan apabila banjir berlaku di kawasan itu.
Selain itu, penduduk juga memastikan segala dokumen penting dan barang keperluan termasuk peralatan elektrik diletakkan di tempat selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Melayu, Bandar Sungai Lembing, Muhammad Ridzal Sukimi berkata, setakat ini, segala persediaan sudah dilakukan terutama daripada segi stok bekalan makanan.
Katanya, bekalan makanan yang dihantar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh bertahan selama tujuh hari sekiranya berlaku banjir di Sungai Lembing.
"Daripada segi logistik pula, kami mempunyai tiga bot dan enam pacuan empat roda sebagai persediaan dalam memberikan bantuan kepada penduduk Sungai Lembing.
"Pada masa sama, kami juga turut menasihati warga emas yang mempunyai masalah kesihatan untuk memastikan ubat-ubatan dan resit ubat dibawa bersama bagi memudahkan urusan apabila berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Di Sungai Lembing ini sebanyak tiga PPS disediakan iaitu Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lembing, Dewan Orang Ramai Kampung Melayu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Muhammad Ridzal berkata, berdasarkan rekod, kali terakhir banjir besar berlaku di pekan Sungai Lembing pada 2021 apabila air naik setinggi dua tingkat bangunan.
"Bagaimanapun, boleh dikatakan setiap tahun Sungai Lembing akan banjir dan persediaan awal dilakukan apabila monsun," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk yang juga peniaga kedai runcit, Lui Yen Ping, 72 berkata dia sentiasa peka dengan keadaan cuaca terutama apabila hujan lebat.
Katanya, keselamatan menjadi keutamaan termasuk menyimpan dokumen penting dan segala peralatan untuk mengelak daripada mengalami kerugian.
"Namun, saya harap tahun ini banjir di Sungai Lembing ini tidak teruk," katanya.