PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Lebih 60,000 penduduk sudah dipindahkan

Lebih 60,000 penduduk sudah dipindahkan

Kuala Lumpur: Lebih 60,000 penduduk sudah dipindahkan setakat petang semalam, akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang merebak, membabitkan enam negeri dengan Kelantan paling teruk terjejas.

Walaupun deruan angin MTL hanya dirasai penduduk negeri di Pantai Timur, namun hujan lebat berterusan menyaksikan banjir turut melanda Kedah, Perlis dan Perak yang terletak di Pantai Barat.

Bagi mangsa banjir di beberapa kawasan terjejas di Kelantan, mereka merasakan bencana yang melanda kali ini lebih buruk dari situasi pernah dialami ketika Bah Kuning pada 2014.

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat kepada 11.63 meter (m) pada jam 2 petang semalam, melebihi paras bahaya 9m, menyebabkan semakin ramai penduduk sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang kini mencecah 13,539 mangsa yang berada di 44 PPS sekitar daerah itu.

Paras air Sungai Golok itu jauh lebih tinggi jika dibandingkan ketika banjir Bah Kuning hanya merekodkan bacaan 10.84m sahaja.

Limpahan air Sungai Golok menyebabkan seluruh kawasan perniagaan di pekan Rantau Panjang lumpuh dengan laluan masuk ke situ ditutup oleh polis bermula dari Jambatan Lubok Jong dan ia hanya boleh dimasuki kenderaan pasukan penyelamat sahaja.

Arus deras banjir yang melanda menyebabkan dua beranak wanita menempuh detik cemas apabila terpaksa berpaut pada pokok selama lima jam selepas perahu yang dinaiki mereka terbalik akibat arus deras di Kampung Tasek, Lubok Gong di sini, ketika cuba keluar dari situ pada jam 9 malam kelmarin.

Mereka bernasib baik apabila diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang yang memasuki kampung itu bagi menyelamatkan penduduk Orang Kurang Upaya (OKU) yang terperangkap banjir pada jam 12 tengah malam, sebelum dimaklumkan mengenai nasib mereka dua beranak itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata dua beranak itu termasuk seorang remaja perempuan ditemui dalam keadaan berpelukan sambil berpaut pada sebatang pokok ketika diselamatkan dalam arus deras.

Situasi buruk itu diakui penduduk Kampung Bukit Kuang, Tanah Merah, Mohd Naram Mat Jusoh, 50, yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Kuang tengah hari semalam, selepas halaman rumahnya ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter dalam tempoh yang singkat.

“Kampung Bukit Kuang dikategorikan tempat tinggi kerana hanya sekali dilanda banjir iaitu pada 2014. Ketika itu saya berada di Kuala Lumpur dan terselamat daripada berpindah ke PPS. Tahun ini kali pertama saya berpindah ke PPS,” katanya.

Penduduk Kampung Batu Garam, Mek Yam Awang Hamat, 66, berkata sepanjang usianya, ini adalah kali kedua dia berpindah ke PPS selepas kediamannya dinaiki air semalam.

“Kali pertama saya berpindah adalah pada 2014, ketika itu air di halaman rumah mencecah lebih 1 meter namun belum memasuki dalam rumah. Semalam pertama kali paras air masuk ke dalam rumah menyebabkan saya dan cucu berpindah,” katanya.

Kira-kira 500 penduduk empat kampung iaitu Dusun Ban, Pasir Jering, Batu Pagar dan Dusun Bunut dalam daerah Kuala Krai terputus hubungan apabila Jambatan Pasir Jering sepanjang 40 meter ditenggelami air sedalam enam meter susulan hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu.

Tak perlu isytihar darurat

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) (Pengurusan) Datuk Ab Pattah Hasbullah, menegaskan tiada keperluan mengisytiharkan darurat bencana banjir berikutan keadaan masih terkawal.

“Walaupun 10 daerah di Kelantan kini terjejas banjir namun masih terkawal kerana pelbagai persiapan bencana sudah diatur daripada awal. Peristiwa Bah Kuning pada 2014 hingga kita isytihar darurat kerana waktu itu paras ketinggian air di Tangga Krai mencecah 34.1 meter.

“Namun ketika ini, paras sungai di kawasan itu hanya berketinggian 10 meter dan jauh lagi daripada paras bahaya. Ketika ini memang ada beberapa sungai di Kelantan mencecah paras bahaya tetapi masih dalam kawalan dan jauh lagi daripada tragedi bah kuning 2014,” katanya.

Sehingga jam 6 petang semalam, seramai 47,543 mangsa banjir membabitkan 14,494 keluarga dipindahkan ke 202 PPS seluruh Kelantan.

Di Terengganu, mangsa banjir terus meningkat kepada 14,111 orang dipindahkan ke 190 PPS sehingga jam 4 petang semalam dengan tujuh daerah terjejas.

Daerah Besut paling teruk terjejas apabila 5,076 mangsa dipindahkan terdiri daripada 1,370 keluarga yang ditempatkan di 69 buah PPS.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata seorang warga emas menjadi korban pertama bencana yang melanda negeri itu, apabila ditemukan lemas ketika memukat dalam kawasan sawah padi di Kampung Amir di sini, semalam.

Katanya, mayat Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, ditemukan jam 10.10 pagi pada jarak lima meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah, menjangkakan sebanyak 41 kampung, terutamanya berhampiran pantai berisiko dilanda banjir di negeri ini mulai hari ini.

“Pertembungan air pasang besar dan hujan serta aliran air ke hilir yang dijangka boleh menyebabkan kampung berhampiran pantai berisiko dilanda banjir. Air pasang besar setinggi di antara 2.5 meter

hingga 3.6 meter dijangka bermula jam 9 malam hingga Ahad ini boleh menyebabkan berlakunya banjir pantai,” katanya.

Sebanyak 18 sekolah di empat daerah Terengganu terpaksa ditutup selepas dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda sejak kelmarin.

Di Kedah, penduduk daerah Kuala Nerang menganggap banjir yang melanda kali ini sama seperti 14 tahun lalu yang ketika itu menyebabkan pekan itu lumpuh.

Tinjauan mendapati Jalan Semeliang, Jalan Kampung Tanjung Kiri, Kampung Tanjung Kanan, Kampung Bendang Raja, Jalan Kuala Nerang ke Naka, Simpang Tiga Bukit Gedung, Jalan Sungai Kap menghala ke Tanjung Piring untuk ke Pekan Kuala Nerang terputus disebabkan limpahan Sungai Padang Terap.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata banjir yang melanda negeri itu dijangka merebak ke beberapa kawasan lain dalam tempoh terdekat berikutan limpahan air dari sungai dan empangan.

“Walaupun hujan sudah berhenti tapi hujan berlarutan sepanjang dua hari dua malam, berlaku limpahan air di empangan dan sungai yang akan mengalir ke kawasan rendah,” katanya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam.

Di Kedah, sebanyak 19 PPS dibuka yang menempatkan sekitar 1,123 mangsa daripada 368 keluarga, manakala empat PPS dibuka di Perlis bagi menempatkan 310 mangsa, sementara masing-masing satu PPS dibuka di Johor (28 mangsa) dan Perak (20 mangsa).

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search