Perkukuh teknologi AI atasi bencana, ancaman banjir
- Admin UKK
- Berita
Setiap tahun, Malaysia akan mengalami risiko bencana banjir, terutama pada musim tengkujuh seperti sedang dialami ketika ini di beberapa negeri.
Jabatan Perangkaan menerusi Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia pada 2023, menunjukkan negara mencatatkan kerugian RM755.4 juta bersamaan 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Walaupun Jabatan Perangkaan memaklumkan pengurangan RM271 juta berbanding bencana pada 2022, jumlah kerugian terbabit masih menjadi jumlah besar dan menuntut tindakan serta penyelesaian pantas dan efisien.
Dengan kemajuan teknologi, kecerdasan buatan (AI) menawarkan penyelesaian inovatif untuk menangani masalah ini.
Negara jiran seperti Indonesia sudah menggunakan AI dan internet benda (IOT) untuk pengurusan banjir khususnya di bandar berpenduduk padat seperti Jakarta.
Mereka menggunakan aplikasi berasaskan teknologi AI untuk melaporkan dan memberi amaran awal kepada semua penduduk di Jakarta termasuk amaran banjir.
Lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Jepun pada Februari lalu meninjau aplikasi AI dalam pengurusan bencana dan pengumuman peruntukkan RM10 juta kepada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dalam Belanjawan 2025 menunjukkan Malaysia mula mengorak langkah mengaplikasikan AI sebagai antara cara menyelesaikan masalah negara termasuk menguruskan situasi banjir di negara ini.
Analisis data satelit, stesen cuaca
Antara aplikasi utama AI dalam pengurusan banjir adalah teknologi ini boleh dilatih untuk mengenal pasti corak cuaca dan air berpotensi menyebabkan banjir dengan menganalisis data satelit, stesen cuaca dan pengesan air serta memberi ramalan lebih cepat dan tepat.
Ini memberikan masa kepada pihak berkuasa memberi amaran lebih awal kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi melalui aplikasi mudah alih, SMS atau media sosial serta membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan tepat lagi sesuai dengan tahap risiko banjir bagi sesuatu kawasan.
AI juga boleh membantu pihak berkuasa dalam pengurusan infrastruktur untuk mengurangkan impak banjir. Contohnya, AI boleh digunakan mengesan kerosakan pada empangan, jambatan dan sistem perparitan.
Dengan menganalisis data dari pengimbas dipasang pada infrastruktur ini, AI boleh mengenal pasti kawasan memerlukan pembaikan atau penyelenggaraan. Ini membantu memastikan infrastruktur berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan baik jika berlaku banjir.
Sistem AI juga boleh membantu dalam pengagihan bantuan kecemasan seperti makanan, air bersih dan ubat-ubatan kepada mangsa banjir.
Dengan menganalisis data keperluan dan keadaan semasa, AI boleh merancang logistik bantuan dengan lebih baik dengan memastikan bantuan sampai kepada mereka memerlukan dengan cepat dan tepat.
Penggunaan AI dalam pengurusan banjir juga mempunyai kesan positif terhadap masyarakat dan ekonomi dengan mengurangkan impak banjir terutama kos berkaitan kerosakan infrastruktur serta kehilangan atau kerosakan harta benda.
Kesimpulannya, penggunaan teknologi AI dapat membantu pihak berkuasa menawarkan ramalan cuaca lebih tepat, sistem amaran awal, pemantauan masa nyata, pengurusan infrastruktur dan sumber lebih efisien.
Bagaimanapun, bagi mencapai potensi penuh AI, kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta dalam teknologi dan latihan amat penting. Berdasarkan pendekatan yang betul, AI boleh menjadi alat berkesan dalam mengurus risiko banjir dihadapi negara.