PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir Kelantan: Operasi perniagaan di Rantau Panjang tutup

Banjir Kelantan: Operasi perniagaan di Rantau Panjang tutup

RANTAU PANJANG: Operasi perniagaan di bandar ini ditutup sementara susulan semua jalan masuk utama ke pekan itu dinaiki air separas 0.4 hingga 0.8 meter sejak tengah hari tadi.

Tinjauan di tiga pintu penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga mendapati hanya satu pintu boleh dilalui kenderaan berat, manakala pintu dua di Kampung Parit Air serta pintu tiga di Kampung Kubang Rambutan ditutup sepenuhnya.

Peniaga, Amran Abdullah, 45, berkata dia sempat membuka kedai pakaian miliknya jam 10 pagi tadi kerana keadaan dilihat tenang, namun pada jam 12 tengah hari tadi, beberapa jalan masuk mula dinaiki air.

"Ramai rakan peniaga yang membuka kedai separuh hari sahaja dan mengambil keputusan mengemas barangan kerana bimbang paras banjir semakin meningkat dan memasuki bahagian dalam premis ini.

"Tambahan pula, pelanggan tidak dapat memasuki pekan ini dan saya dimaklumkan jalan utama Rantau Panjang - Pasir Mas dan Rantau Panjang - Panglima Bayu juga sudah terputus akibat ditenggelami air," katanya.

Sementara itu, Siti Aminah Zakaria, 38, mengambil keputusan menutup terus kedai miliknya kerana bimbang turut terperangkap dalam pekan berkenaan.

"Sebaik diberitahu jalan masuk sudah digenangi air saya segera menutup kedai dan pulang memandangkan saya menunggang motosikal. Biasanya air di sini arusnya deras jadi saya risau perkara buruk terjadi jika tidak keluar awal," katanya.

Menurutnya, dia berharap banjir kali ini tidak terlalu lama memandangkan berniaga di pekan Rantau Panjang adalah punca pendapatan utama dia sekeluarga.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search