Nasib baik ada 'abang' bomba
- Admin UKK
- Berita
RANTAU PANJANG: "Kami dah berjalan kaki sejauh lima kilometer (km) untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan bernasib baik berjumpa dengan pasukan bomba sedang membuat rondaan yang kemudian menumpangkan kami," kata Mohd Azlan Mansor, 38.
Mohd Mazlan berkata, dia bersama kakak, Rosliza Mansor, 39, dan anak saudara, NurQistina Balqisha Rahmat, 15, berjalan kaki ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, di sini, selepas kediamannya mula dimasuki air awal pagi tadi.
Katanya, mereka terpaksa berjalan kaki meredah banjir kerana kereta atau motosikal sudah tidak boleh dilalui susulan ada jalan yang dinaiki air separas 0.3 sehingga 0.5 meter.
"Selepas hampir dua jam kami meredah air, sejujurnya kami berasa sangat penat, namun Alhamdulillah 'abang' bomba hadir memberikan bantuan dan segera menghantar kami ke PPS.
"Saya sendiri tidak menyangka air akan naik dengan mendadak selepas hujan lebat tanpa henti sejak petang semalam. Biasanya saya akan berpindah awal, namun kali ini kerana jangkaan meleset kami terpaksa meredah banjir ke PPS.
"Kediaman saya sekeluarga tidak selamat untuk didiami setiap kali bah melanda kerana paras air boleh mencecah sehingga dua meter, jadi setiap tahun kami memilih untuk berlindung di PPS," katanya yang tinggal di Kampung Gertak Nombor Tiga, di sini.
Mohd Mazlan berkata, mereka hanya membawa beberapa helai baju dan barangan penting sahaja kerana bimbang untuk meredah banjir.
"Penat sebenarnya redah air kerana memerlukan tenaga lebih-lebih lagi apabila berhadapan arus yang kuat. Tambahan pula, masa perjalanan untuk sampai menjadi lebih lama.
"Bagaimana pun, kami berterima kasih dan menghargai khidmat anggota penyelamat yang sanggup berkorban masa dan tenaga bagi membantu mangsa banjir seperti kami," katanya.
Tinjauam hari ini, mendapati beberapa penempatan seperti Kampung Kubang Kual, Kampung Banggol Mekong, Kampung Kusar, Kampung Tasek Bakong sudah dinaiki air sejak awal pagi tadi.